TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Bayi 3 bulan maut tertindih lengan bapa yang meninggal akibat serangan jantung di Melaka

By
|
Kongsi
image

 

 

MELAKA 19 Jun – Insiden menyayat hati menimpa sebuah keluarga di Kampung Perigi Hang Tuah, apabila seorang bayi lelaki berusia tiga bulan disahkan meninggal dunia dipercayai tertindih lengan bapanya yang tidak bernyawa selepas terkena serangan jantung, pagi tadi.

Mangsa dewasa, Nurul Efendy Ibrahim, 35, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh isterinya, Azura Abdul Malik, 37, yang pulang ke rumah sekitar pukul 9.30 pagi. Ketika itu, bayi mereka, Muhammad Nur Daniel Nurul Efendy, kelihatan berada di bawah lengan kiri si bapa.

Menurut Azura, dia terus menghubungi pihak hospital sebaik melihat keadaan suami dan anaknya yang tidak sedarkan diri.

“Saya terkejut apabila masuk rumah dan nampak suami dan bayi kami tidak sedarkan diri. Saya terus hubungi pihak hospital untuk bantuan sebelum suami disahkan telah meninggal dunia di rumah,” katanya ketika ditemui.

Azura turut menjelaskan bahawa ketika pasukan perubatan tiba, anaknya masih hidup tetapi dalam keadaan sangat lemah.

“Bayi kami meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan,” katanya dalam laporan Kosmo Online.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Supian Md. Dali, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada talian MERS 999 pada pukul 9.58 pagi.

Menurutnya, pihak bomba dimaklumkan terdapat satu kematian di lokasi dan satu lagi mangsa iaitu bayi yang meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

“Pasukan kami juga diminta menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti kemungkinan kebocoran gas. Namun siasatan awal mendapati tiada unsur kebocoran dan kematian dipercayai berpunca daripada serangan jantung. Maka, bantuan daripada Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dibatalkan,” katanya.

Punca sebenar kematian kedua-dua mangsa masih menunggu laporan bedah siasat dari pihak hospital. 

+ - reset