TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Tambang 'cekik darah', JPJ tahan 80 ulat teksi di KLIA, denda RM5,000

By
|
Kongsi
image

 

SEPANG 19 Jun - Tindakan licik 80 individu menawarkan perkhidmatan teksi haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 akhirnya dipatahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi siri operasi yang dijalankan sepanjang tahun ini.

JPJ dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa tangkapan melibatkan 69 ulat teksi menggunakan kenderaan persendirian, 10 menggunakan kenderaan awam berlesen, manakala seorang lagi ditahan tanpa menggunakan kenderaan.

Menurut JPJ, kumpulan itu dikesan aktif mendekati penumpang di balai ketibaan kedua-dua terminal untuk menawarkan perkhidmatan sewa kereta secara haram.

“Mereka mengenakan bayaran tidak munasabah antara RM80 hingga RM150 untuk perjalanan sekitar Kuala Lumpur, jauh melebihi kadar biasa perkhidmatan teksi atau limosin yang lazimnya sekitar RM65 hingga RM80,” menurut kenyataan tersebut.

Susulan siasatan, beberapa kenderaan telah dilucut hak kepada kerajaan di bawah Seksyen 227 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, manakala Orang Kena Saman (OKS) turut berdepan dakwaan mengikut Seksyen 205 akta sama dan dijatuhkan hukuman denda RM5,000.

JPJ menyifatkan kegiatan ulat teksi ini sebagai tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh merosakkan reputasi negara, khususnya dalam sektor pelancongan dan pengangkutan awam.

“Kami akan terus mempertingkatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan kegiatan seperti ini tidak berleluasa di lokasi strategik seperti KLIA,” tegas jabatan itu.

JPJ memberi amaran keras bahawa tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan menyalahi undang-undang dan memburukkan imej Malaysia di mata dunia.

+ - reset