Berita Berita
Persana Avril didakwa muat naik sijil nikah palsu libatkan kerabat diraja

KUALA LUMPUR 19 Jun – Seorang bekas model dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik sijil pernikahan palsu antara dirinya dengan seorang kerabat diraja Johor menerusi platform TikTok, Februari lalu.
Tertuduh, Persana Avril Sollunda, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, wanita yang bekerja sebagai tukang urut itu didakwa memulakan penghantaran gambar palsu dalam bentuk video melalui akaun TikTok ‘king.charles.ratu’ yang memaparkan sijil pernikahan antara seorang kerabat diraja dan watak bernama “Crown Princess Ratu Shana”.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan niat menyakiti hati orang lain dan kandungan tersebut dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Menara KPJ, kira-kira jam 10 pagi, 26 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali. Selain itu, denda tambahan RM5,000 sehari boleh dikenakan sekiranya kesalahan berterusan selepas pensabitan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan rayuan.
Hakim kemudian membenarkan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin, dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Pada 22 Mei lalu, mahkamah sama turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Persana kerana gagal hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan.
Sebelum ini, pada Mac lalu, wanita terbabit telah ditahan oleh pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu untuk siasatan, namun dibebaskan selepas itu. – Media Telus.
Berita berkaitan
June 19, 2025, 5:35 pm
RM504 juta nilai rampasan, 453 individu ditahan dalam Op Hazard 2.0 seluruh negara
June 19, 2025, 4:35 pm
Rumah kosong di Cheras dijadikan stor rokok seludup
June 19, 2025, 4:27 pm
11 lelaki sesak nafas akibat kebakaran kereta di kondominium Wangsa Maju
June 19, 2025, 4:15 pm
'Mohon campur tangan PM hidupkan semula usul GEG bendung ketagihan vape, dadah' - Dr Akmal
June 19, 2025, 3:25 pm
Ipoh digegarkan bunyi dentuman, polis bincang dengan agensi berkaitan
June 19, 2025, 3:20 pm
Johari arah sesi libat urus industri hadapi pelaksanaan SST
June 19, 2025, 3:10 pm
SST buah import mungkin dikaji semula – Ahmad Zahid
June 19, 2025, 2:12 pm
Bayi 3 bulan maut tertindih lengan bapa yang meninggal akibat serangan jantung di Melaka
June 19, 2025, 1:18 pm