TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Mahkamah benar rayuan SIS Forum cabar fatwa kumpulan hak asasi wanita itu sesat

By
|
Kongsi
image

 

PUTRAJAYA 19 Jun -  Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan rayuan yang difailkan oleh SIS Forum (Malaysia) terhadap keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Keputusan penting itu dibuat oleh panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dengan majoriti 3-1.

Mahkamah tertinggi negara itu memutuskan bahawa fatwa berkenaan tidak boleh dikenakan ke atas pertubuhan dan agensi Persekutuan, sekaligus mengetepikan keputusan terdahulu oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

“Keputusan ini hanya terpakai setakat mana fatwa tersebut menyentuh agensi dan kuasa agensi Persekutuan. Perintah terperinci adalah sebagaimana dinyatakan dalam alasan penuh penghakiman,” kata Tengku Maimun ketika membacakan keputusan majoriti.

Mahkamah Persekutuan pada 21 Ogos tahun lalu memberi kebenaran kepada SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar, untuk meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini menolak permohonan mereka bagi membatalkan fatwa tersebut.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 menyatakan bahawa fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Selangor bukan keputusan muktamad dan tidak boleh dicabar melalui semakan kehakiman.

Permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh SIS Forum dan Zainah sebelum ini turut ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019.

Fatwa berkenaan, yang diwartakan pada 31 Julai 2014 oleh kerajaan negeri Selangor, menyatakan bahawa SIS Forum serta mana-mana individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme dan pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Selain itu, fatwa itu turut mengarahkan penerbitan yang mengandungi fahaman sedemikian diharamkan dan dirampas serta menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menapis kandungan laman sesawang yang bertentangan dengan hukum syarak.

Dengan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, ia membawa implikasi penting terhadap pemisahan kuasa antara negeri dan Persekutuan dalam pelaksanaan undang-undang syariah serta peranannya ke atas pertubuhan dan agensi berdaftar di bawah entiti Persekutuan.

+ - reset