TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dua rakan sekerja maut motosikal ditunggang rempuh MPV di lampu isyarat

By
|
Kongsi
image

 

TAMPIN 19 Jun – Dua buruh binaan maut selepas motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di persimpangan lampu isyarat Kampung Baru Tampin, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal Honda C100 dikenal pasti sebagai rakan sekerja masing-masing berusia 32 dan 20 tahun. Salah seorang daripadanya merupakan warga Bangladesh.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman, siasatan awal mendapati pemandu MPV jenis Mitsubishi Xpander, seorang lelaki berusia 34 tahun, dalam perjalanan dari kuarters kakitangan Hospital Tampin menuju ke pekan.

“Apabila tiba di persimpangan lampu isyarat, pemandu MPV meneruskan perjalanan ketika lampu hijau. Secara tiba-tiba motosikal ditunggang lelaki tempatan bersama pembonceng warga Bangladesh datang dari sebelah kanan lalu merempuh bahagian hadapan kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat perlanggaran, pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penunggang pula meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan Hospital Tampin.

Pemandu MPV hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian dada dan turut menerima rawatan di hospital sama.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk bedah siasat, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

+ - reset