Berita Berita
Anwar kecam serangan udara Israel ke atas Iran, seru kuasa besar bertindak tegas

KUALA LUMPUR 19 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam serangan udara Israel ke atas wilayah Iran baru-baru ini, yang disifatkan sebagai tindakan "hukuman" dan "tidak bersebab" yang melanggar undang-undang antarabangsa serta menggugat usaha diplomasi serantau.
Menurut beliau, serangan tersebut jelas bertujuan menggagalkan rundingan yang sedang berlangsung dan menghancurkan harapan terhadap penyelesaian damai di rantau itu.
“Tindakan seperti ini yang dilakukan dengan sewenang-wenangnya merupakan pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa, sekaligus melemahkan norma-norma yang menjadi asas kepada ketertiban dunia.
“Kita menyeru pihak-pihak berkepentingan yang mempunyai kuasa dan pengaruh untuk bersuara dengan jelas serta bertindak tegas bagi mengelakkan ketegangan terus memuncak,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-38 (APR) di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi ISIS Malaysia, Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah.
Mengulas krisis kemanusiaan di Gaza, Anwar menyuarakan kebimbangan terhadap kempen ketenteraan Israel yang berterusan, sambil menyifatkannya sebagai tragedi yang mengakibatkan penderitaan dahsyat terhadap penduduk awam yang tidak berdosa.
“Jumlah korban awam yang sangat tinggi, terutama wanita dan kanak-kanak, menuntut lebih daripada sekadar kenyataan prihatin.
“Ia memerlukan tindakan tegas antarabangsa bagi menegakkan undang-undang kemanusiaan, mencapai gencatan senjata segera, dan memastikan bantuan dapat disalurkan tanpa halangan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Anwar turut memberi amaran bahawa kredibiliti sistem antarabangsa berasaskan undang-undang kini sedang diuji, sambil mendesak kuasa-kuasa besar dunia agar bertindak segera bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.
Beralih kepada situasi di rantau Asia Pasifik, Anwar berkata tekanan serupa sedang berlaku dalam bentuk berbeza.
“Di Selat Taiwan, Semenanjung Korea dan Laut China Selatan, titik panas yang biasa kembali muncul. Dalam hal ini, kita perlu mengutamakan dialog berbanding konfrontasi, undang-undang berbanding kekacauan, dan kawalan diri berbanding ketegangan,” ujarnya.
Tambah beliau, Malaysia percaya masa depan rantau ini harus berasaskan kepada kerangka keselamatan yang inklusif, boleh dijangka dan berteraskan peraturan – di mana prinsip tidak memihak bukan sahaja diterima, malah digalakkan untuk berkembang.
“Kita tidak mendakwa mampu membentuk rantau ini mengikut kehendak kita, tetapi kita boleh berusaha untuk mencegah sebarang kemungkinan terburuk. Kestabilan tidak dijamin, namun kekacauan juga bukan satu kepastian.
“Tindakan yang kita ambil sekarang – bagaimana kita mengurus ketegangan, mengimbangi hubungan dan mempertahankan kepentingan – akan menentukan bagaimana rantau ini menghadapi cabaran masa depan,” katanya. – Media Telus.
Berita berkaitan
June 19, 2025, 4:35 pm
Rumah kosong di Cheras dijadikan stor rokok seludup
June 19, 2025, 4:27 pm
11 lelaki sesak nafas akibat kebakaran kereta di kondominium Wangsa Maju
June 19, 2025, 4:15 pm
'Mohon campur tangan PM hidupkan semula usul GEG bendung ketagihan vape, dadah' - Dr Akmal
June 19, 2025, 3:25 pm
Ipoh digegarkan bunyi dentuman, polis bincang dengan agensi berkaitan
June 19, 2025, 3:20 pm
Johari arah sesi libat urus industri hadapi pelaksanaan SST
June 19, 2025, 3:10 pm
SST buah import mungkin dikaji semula – Ahmad Zahid
June 19, 2025, 2:12 pm
Bayi 3 bulan maut tertindih lengan bapa yang meninggal akibat serangan jantung di Melaka
June 19, 2025, 1:18 pm
Dua kes tembak di ibu negara ada kaitan elemen kongsi gelap
June 19, 2025, 1:12 pm