TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Kesihatan Abdul Hadi semakin baik, ikuti perkembangan politik dari IJN

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 19 Jun – Tahap kesihatan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan semakin baik sepanjang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), kata Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman.

Menurut beliau, Abdul Hadi kelihatan ceria dan bersemangat selain sempat mengikuti perkembangan semasa, termasuk situasi geopolitik di Iran dan isu politik tanah air.

"Alhamdulillah, dengan izin-Nya, Tuan Guru menunjukkan perkembangan yang baik. Ceria dan bersemangat, malah proses penyembuhan juga sangat cepat.

“Tuan Guru turut gembira apabila dimaklumkan bahawa delegasi Pas yang diketuai Ustaz Khalil (Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi) telah mengunjungi Kedutaan Iran bagi menyatakan solidariti parti terhadap isu yang berlaku di sana,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang, dilaporkan menjalani rawatan di IJN pada Selasa lalu. Untuk rekod, beliau pernah menerima rawatan susulan di institusi sama dan kali terakhir menjalani prosedur pada 5 Januari tahun lalu.

Syahir turut memaklumkan bahawa Abdul Hadi menyampaikan ucapan terima kasih atas doa serta sokongan berterusan rakyat Malaysia terhadap kesihatannya.

“Saya turut menyampaikan salam daripada Mursyidul Am Pas dan barisan bekas Perdana Menteri iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, termasuk rakan-rakan lamanya dan ahli parti.

“Beliau berkirim salam kembali. Kita berikan ruang untuk Tuan Guru berehat dan pulih sepenuhnya dengan iringan doa yang tidak putus-putus,” katanya. – Media Telus.

+ - reset