TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Budak 11 tahun teruk dibelasah, disimbah air panas dipercayai didera ibu, ayah kandung di Arau

By
|
Kongsi
image

 

ARAU, 19 Jun – Sepasang suami isteri direman selama enam hari selepas disyaki mendera anak perempuan mereka yang berusia 11 tahun di sebuah rumah di Arau, dipercayai sejak tahun 2023.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis pada pukul 1.22 pagi tadi.

Menurut beliau, maklumat awal diperoleh daripada orang awam yang mengesyaki kanak-kanak berkenaan menjadi mangsa penderaan fizikal oleh ibu bapa kandungnya.

“Pegawai pelindung JKM yang pergi ke lokasi kejadian mendapati keadaan mangsa mencurigakan sebelum membawanya ke Rumah Kanak-Kanak Arau untuk perlindungan sementara,” katanya hari ini.

Siasatan awal polis mendapati penderaan terhadap kanak-kanak tersebut dipercayai telah bermula sejak dua tahun lalu, dan insiden terakhir berlaku pada Rabu lepas kira-kira pukul 12.30 tengah hari apabila mangsa dipercayai dipukul dengan rotan.

Hasil pemeriksaan kesihatan oleh Pegawai Perubatan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) mendapati mangsa mengalami pelbagai kecederaan termasuk lebam dan luka di kepala, bibir, dada, rusuk, lengan serta betis.

Turut dikesan ialah kesan kecederaan lama dan baharu dipercayai akibat hentakan objek tumpul dan simbahan air panas.

Ahmad Mohsin berkata, Unit Pediatrik HTF juga telah melakukan pemeriksaan lanjut ke atas mangsa bagi memastikan rawatan susulan diberikan serta kesihatan mangsa dipantau secara berterusan.

“Kedua-dua suspek iaitu ibu dan bapa kandung mangsa telah ditahan dan kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya lagi.

Mahkamah telah meluluskan permohonan reman ke atas pasangan terbabit selama enam hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan sebelum tindakan susulan diambil.

Kes ini menambah lagi kepada senarai penderaan kanak-kanak yang membimbangkan dan mencetuskan keperluan pengawasan lebih ketat terhadap kesejahteraan kanak-kanak di rumah.

+ - reset