TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Guru tuisyen didakwa masuk tangan dalam baju murid perempuan 11 tahun

By
|
Kongsi
image

SEREMBAN 20 Jun - Seorang guru tuisyen didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan yang juga anak muridnya pada Isnin lalu.

Tertuduh, Anor Suleman, 63, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun ketika kejadian, dengan memasukkan tangan ke dalam baju dan menyentuh bahagian belakang badan, leher serta bahu kanak-kanak tersebut.

Kesalahan itu dilakukan lebih kurang jam 8 malam di sebuah bilik di rumah di Forest Heights, di sini, pada 16 Jun lalu.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memaklumkan hubungan tertuduh dan mangsa adalah sebagai guru tuisyen dan anak murid.

Beliau menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dikenakan.

Peguam, Nurliyana Aziz yang mewakili tertuduh memohon agar anak guamnya dikenakan jaminan minimum kerana menghidap penyakit darah tinggi dan hanya mempunyai satu buah pinggang yang berfungsi.

“Tertuduh merupakan guru tuisyen bersama isterinya dan hari ini akan dijamin oleh menantu yang bekerja sendiri.

“Tahap kesihatan tertuduh tidak begitu baik dan memerlukan penjagaan secara berkala,” katanya dalam laporan Sinar Harian.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai, selain perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Julai depan bagi serahan dokumen.

+ - reset