TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Suami, isteri ditahan aktif edar dadah sejak 9 tahun lalu di Sepang

By
|
Kongsi
image

SEPANG 20 Jun – Polis berjaya menahan empat individu termasuk sepasang suami isteri dalam dua serbuan berasingan di daerah ini pada Rabu lalu kerana disyaki terbabit dengan kegiatan sindiket pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pasangan suami isteri berusia 27 hingga 39 tahun itu dipercayai aktif mengedar dadah sejak 2016 di kawasan Sepang dan sekitarnya.

“Hasil serbuan pertama, polis merampas pelbagai jenis dadah dengan anggaran nilai RM16,500. Rampasan membabitkan 84.32 gram syabu, 65 gram heroin, 14 gram ketamin dan 97 gram (bersamaan 300 biji) eramin 5. Sebuah kereta Perodua Myvi yang digunakan untuk aktiviti pengedaran turut disita,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau memaklumkan, pasangan itu menggunakan kereta sewa sebagai kenderaan utama untuk menjalankan aktiviti pengedaran. Ujian saringan awal mendapati si suami positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, manakala isterinya didapati negatif.

Norhizam berkata, susulan tangkapan itu, polis menyerbu lokasi kedua dan menahan dua lagi lelaki tempatan berusia 35 hingga 39 tahun.

“Dalam serbuan kedua, polis merampas 515 gram syabu dengan nilai dianggarkan RM20,000 selain menyita sebuah kereta Perodua Viva yang dipercayai digunakan untuk tujuan sama. Kedua-dua suspek didapati positif amphetamine dan methamphetamine,” ujarnya.

Secara keseluruhan, dadah yang dirampas daripada kedua-dua operasi itu dianggarkan boleh digunakan seramai 3,877 penagih.

+ - reset