TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

70 bungkus ganja bernilai RM227,000 dirampas, dua lelaki tempatan ditahan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Jun – Polis merampas 70 bungkusan ganja mampat seberat 73.25 kilogram dalam satu operasi di Kepong, awal pagi Selasa lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata, dua lelaki tempatan berusia 33 dan 38 tahun turut ditahan dalam operasi pada jam 1.25 pagi itu.

“Hasil risikan, pasukan JSJN menahan kenderaan dinaiki suspek di Jalan Baiduri dan menemui dadah tersebut selepas pemeriksaan dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nilai pasaran ganja yang dirampas dianggarkan sebanyak RM227,063 dan mampu menjejaskan sehingga 146,492 penagih sekiranya diedarkan.

Siasatan awal mendapati ganja itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui sempadan Perlis sebelum dibawa ke Lembah Klang untuk tujuan pengedaran.

“Kedua-dua suspek dipercayai bertindak sebagai pengangkut bagi sindiket dan telah aktif sejak awal tahun ini. Ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah, namun semakan latar belakang menunjukkan mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Turut disita ialah sepasang anting-anting emas bernilai RM1,950 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, menjadikan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM229,013.

Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Operasi ini membuktikan komitmen berterusan JSJN dalam membanteras ancaman nombor satu negara iaitu penyalahgunaan dadah,” katanya sambil menyeru orang awam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui talian hotline JSJN di 012-208 7222. – Media Telus

+ - reset