TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Jenayah

Dua lelaki cuba samun kedai mi di Ulu Yam, polis giat buru suspek

By
|
Kongsi
image

HULU SELANGOR, 22 Jun – Polis sedang memburu dua lelaki yang disyaki cuba melakukan samun bersenjata di sebuah kedai memproses mi di Ulu Yam Baharu, di sini, pada Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintenden Mohd Asri Mohd Yunus berkata, mangsa berusia 30 tahun telah tampil membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada jam 6.42 pagi.

“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian turut tular di media sosial,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Mohd Asri, siasatan awal mendapati dua individu berpakaian serba hitam, bertopi, bertopeng muka dan bersenjatakan parang telah masuk melalui pintu belakang premis sebelum cuba menyerang mangsa.

“Mangsa sempat menjerit meminta pertolongan menyebabkan kedua-dua suspek panik dan melarikan diri tanpa sempat mengambil sebarang barangan,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut mendapati suspek hanya berjalan kaki ke lokasi kejadian dan polis sedang menyiasat sama ada mereka menggunakan sebarang kenderaan.

“Kita sedang mengesan dua suspek berkenaan yang dipercayai lelaki tempatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641132, atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Saful Abdul Rahman di talian 013-5547435. – Media Telus

+ - reset