TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Remaja pukul warga emas dengan cota besi hingga maut kerana berang ditegur main motosikal

By
|
Kongsi
image

TANAH MERAH 20 Jun – Seorang remaja sanggup memukul seorang warga emas dengan cota besi hingga maut selepas berang kerana ditegur menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan kampung dalam kejadian di Kampung Buloh Ipoh di sini, semalam.

Dalam insiden kira-kira pukul 5.30 petang itu, mangsa, Shamsuddin Mohamad, 60, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada muka selepas rebah dipukul remaja berusia 18 tahun tersebut.

Menurut adik mangsa, Hasnah Ghazali, 40, ketika kejadian abangnya sedang berbual dengan seorang rakan di sebuah bangsal berhadapan sebuah kedai runcit.

Katanya, selepas rakannya beredar, suspek datang menghampiri dan mengajak abangnya ke belakang kedai runcit sebelum tiba-tiba menyerang dengan sebatang cota besi.

“Remaja terbabit tiba-tiba memukul abang dengan sebatang cota besi yang dipercayai dibeli secara dalam talian. Kejadian itu disedari oleh seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan berkenaan. Pukulan pada bahagian muka itu menyebabkan abang saya rebah dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Tanah Merah hari ini.

Hasnah berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar pukul 5.45 petang dan terus bergegas ke lokasi sebelum mendapati abangnya sudah tidak bernyawa dengan wajah berlumuran darah.

Difahamkan, suspek dipercayai menyimpan dendam kerana pernah ditegur mangsa yang menasihatinya agar tidak menunggang motosikal secara berbahaya di kawasan kampung.

Jenazah mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kelupang Ipoh, di sini selewat-lewatnya petang ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah mengesahkan kejadian dan memaklumkan laporan lanjut akan diberikan kemudian. 

+ - reset