Berita Berita
'Najib tunggu sejak 2019, AGC kena jawab' - Rafizi pertikai kenapa ambil masa lama siapkan dokumen Najib

KUALA LUMPUR 20 Jun – Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa Pejabat Peguam Negara (AGC) segera memfailkan semula pertuduhan terhadap Datuk Seri Najib Razak serta melengkapkan dokumen berkaitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. (SRC).
Menteri Ekonomi itu berkata menerusi hantaran di laman X, kelemahan pihak pendakwa raya yang mewakili kerajaan, termasuk kegagalan menyiapkan dokumen untuk memulakan kes sejak 2019, memerlukan penjelasan.
"Kelemahan ini jelas perlu dijawab oleh pihak pendakwa raya (AGC). Ramai rakyat Malaysia tidak mahu melihat kes ini berlalu begitu saja atas kegagalan pendakwa (yang mewakili kerajaan) menyiapkan dokumen bukti ke mahkamah, berhubung satu skandal (iaitu SRC) yang sudah pun dijatuhkan hukuman bersalah. Oleh itu, saya menyeru pihak pendakwa dapat mengesahkan bahawa AGC akan memfailkan semula pertuduhan dengan secepat mungkin dan menyiapkan dokumen sewajarnya supaya kes ini dapat berjalan segera," katanya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi hari ini melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Najib daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana RM27 juta milik SRC selepas Hakim K Muniandy bersetuju dengan hujahan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bahawa kes itu tertangguh terlalu lama.
Rafizi dalam pada itu menghormati keputusan mahkamah dan tindakan Najib memohon DNAA, namun beliau mempersoalkan kelewatan penyediaan dokumen bukti.
"Saya menghormati hak Najib untuk membuat permohonan DNAA kerana beliau sudah menunggu lama sejak 2019. Saya juga menghormati keputusan Muniandy membenarkan permohonan DNAA berkenaan.
"(Namun), saya tidak faham kenapa pihak pendakwa raya mengambil masa lama untuk menyiapkan dokumen seperti diperlukan untuk memulakan kes," katanya sambil menyatakan kes SRC melibatkan bukti aliran tunai yang jelas berdasarkan pengalamannya mendedahkan skandal itu sebelum ini.
Rafizi menegaskan beliau akan memantau rapat perkembangan kes berkenaan sebagai Ahli Parlimen agar ia tidak terlepas daripada perhatian rakyat.
Untuk rekod, Najib didakwa pada 3 Februari 2019 atas tiga pertuduhan menerima RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi akaun bank peribadinya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, denda RM5 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Muhammad Shafee memohon agar AGC menggunakan budi bicara untuk tidak meneruskan kes berkenaan susulan keputusan DNAA yang diberikan mahkamah hari ini.
Berita berkaitan
June 20, 2025, 5:44 pm
Wan Rosdy: Keputusan DNAA terhadap Najib satu kemenangan moral
June 20, 2025, 5:25 pm
Pemuda UMNO dakwa pendakwaan terhadap Najib bermotif dendam, tiada bukti kukuh
June 20, 2025, 5:20 pm
Anwar ucap takziah kepada Hamzah Zainudin atas pemergian ibu mentua
June 20, 2025, 5:20 pm
Kadar tarif elektrik 'lebih adil' menanti 23.6 juta pengguna Julai ini
June 20, 2025, 4:03 pm
Jalan licin, ambulans KKM terbalik dalam perjalanan ambil pesakit di Melaka
June 20, 2025, 3:44 pm
Mohd. Khalid dilantik Ketua Polis Negara ke-15
June 20, 2025, 3:31 pm