TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pemuda UMNO dakwa pendakwaan terhadap Najib bermotif dendam, tiada bukti kukuh

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Jun – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh mendakwa tiada bukti kukuh yang membolehkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM27 juta.

Menurutnya, walaupun kes itu dibuka sejak enam tahun lalu, perbicaraan masih belum dijalankan, malah dokumen penting berkaitan kes juga belum diperoleh sehingga ke hari ini.

“Pendakwaan terhadap Najib ini mungkin bersifat dendam semata-mata. Beliau dianiaya selama ini,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial hari ini.

Muhamad Akmal turut membandingkan kes tersebut dengan kes syarikat National Feedlot Corporation (NFC) yang pernah mencetuskan kontroversi satu ketika dahulu. Katanya, kes itu juga akhirnya tidak membabitkan sebarang sabitan di mahkamah.

“Akhirnya rakyat boleh menilai siapa yang dizalimi dan siapa yang membohong selama ini,” ujarnya.

Kenyataan itu dibuat susulan komen bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli yang melahirkan rasa hairan dan kecewa terhadap kelewatan pihak pendakwa raya menyediakan dokumen penting bagi memulakan perbicaraan terhadap Najib.

Rafizi berkata, beliau tidak faham mengapa dokumen-dokumen tersebut masih belum lengkap walaupun kes dibuka sejak tahun 2019.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Najib untuk dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam kes pengubahan wang haram berkaitan dana SRC International Sdn. Bhd., selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan. – Media Telus

+ - reset