Berita Berita
Kadar tarif elektrik 'lebih adil' menanti 23.6 juta pengguna Julai ini

KUALA LUMPUR 20 Jun – Seramai 23.6 juta pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dijangka menikmati kadar tarif elektrik yang lebih adil dan mampu meringankan kos sara hidup berikutan pelaksanaan jadual tarif baharu yang diluluskan kerajaan.
Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam kenyataan memaklumkan, antara langkah utama dalam pelarasan itu ialah peluasan tempoh penggunaan luar waktu puncak kepada sepanjang hari Sabtu dan Ahad, selain dari jam 10 malam hingga 2 petang setiap Isnin hingga Jumaat.
“Langkah ini bagi menggalakkan pengurusan penggunaan elektrik lebih berkesan, selaras usaha ke arah sistem tenaga lebih cekap dan mampan.
Pengguna menggunakan elektrik pada luar waktu puncak akan menikmati penjimatan lebih banyak pada bil elektrik mereka,” menurut ST.
Tarif baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Julai hingga 31 Disember ini menetapkan purata tarif asas pada 45.50 sen/kWj, sedikit lebih rendah berbanding 45.62 sen/kWj yang diluluskan pada Disember 2024. Caj ini merangkumi caj rangkaian dan runcit (12.98 sen/kWj) serta caj penjanaan (32.42 sen/kWj), dengan insentif tambahan hingga 10% untuk penggunaan tenaga secara cekap.
“Dengan pelarasan ini, jumlah kos purata tarif elektrik dalam tempoh kawal selia keempat adalah 30% lebih rendah berbanding tempoh kawal selia ketiga,” jelas kenyataan itu.
Mekanisme pelarasan bahan api automatik turut diperkenalkan menggantikan mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT), membolehkan pelarasan caj penjanaan dibuat mengikut harga pasaran semasa dan kadar tukaran mata wang.
Ketua Pegawai Eksekutif ST, Siti Safinah Salleh, berkata pihaknya menjangkakan pelarasan itu tidak akan melebihi 3 sen sebulan sehingga hujung tahun ini.
Selain itu, pengguna domestik dengan penggunaan bawah 1,000kWj serta pengguna bukan domestik voltan rendah yang menggunakan 200kWj ke bawah akan dikecualikan daripada pelarasan berkenaan, bagi menggalakkan penggunaan tenaga secara cekap.
Kerajaan juga bersetuju memberikan tarif khas untuk sektor pertanian, perkhidmatan air, pembetungan dan pengendalian rel, manakala institusi pengajian tinggi berdaftar, sekolah, rumah kebajikan serta rumah ibadat akan menikmati rebat 10%.
Ketua isi rumah daripada golongan miskin tegar berdaftar dalam sistem e-Kasih pula akan terus menerima rebat bulanan sehingga RM40.
“Secara keseluruhan, pendekatan ini bertujuan menggalakkan kecekapan tenaga dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Semua pengguna juga akan menerima bil elektrik dalam format yang lebih terperinci dan diperincikan,” menurut ST.
Berita berkaitan
June 20, 2025, 5:44 pm
Wan Rosdy: Keputusan DNAA terhadap Najib satu kemenangan moral
June 20, 2025, 5:25 pm
Pemuda UMNO dakwa pendakwaan terhadap Najib bermotif dendam, tiada bukti kukuh
June 20, 2025, 5:20 pm
Anwar ucap takziah kepada Hamzah Zainudin atas pemergian ibu mentua
June 20, 2025, 4:03 pm
Jalan licin, ambulans KKM terbalik dalam perjalanan ambil pesakit di Melaka
June 20, 2025, 3:44 pm
Mohd. Khalid dilantik Ketua Polis Negara ke-15
June 20, 2025, 3:31 pm