TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Anwar ucap takziah kepada Hamzah Zainudin atas pemergian ibu mentua

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 20 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin susulan pemergian ibu mentuanya, Allahyarhamah Datin Salmiah Nyak Matt, 84, yang maut dalam kebakaran malam tadi.

Dalam satu kenyataan di Facebook rasmi, Anwar mendoakan agar Hamzah diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian tersebut dan agar roh Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.

“Saya mendoakan saudara Hamzah terus kuat menghadapi ujian dahsyat ini dan mendoakan yang terbaik buat beliau sekeluarga. Semoga roh Allahyarhamah diampunkan segala dosanya serta diberikan tempat yang istimewa oleh-Nya, Insya-Allah,” katanya.

Dalam kejadian di Jalan Raja Abdullah, Kampung Sungai Rapat Tambahan, Ipoh kira-kira pukul 9.19 malam itu, suami mangsa, Datuk Abdul Ghani Ngah, 83, mengalami sesak nafas dan telah dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon, empat ahli keluarga lain, iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 hingga 49 tahun, berjaya diselamatkan tanpa mengalami kecederaan.

Operasi pemadaman kebakaran tersebut tamat sepenuhnya pada pukul 2.02 pagi. – Media Telus

+ - reset