TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

CAAM ambil alih fungsi Mavcom bermula 1 Ogos depan - Anthony Loke

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 23 Jun - Mulai 1 Ogos depan, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan menjadi satu-satunya badan kawal selia penerbangan negara apabila mengambil alih sepenuhnya fungsi pengawalseliaan ekonomi yang sebelum ini dilaksanakan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata langkah rasionalisasi itu diputuskan selepas Kabinet meluluskan cadangan menjadikan CAAM sebagai Badan Berkanun Diasingkan Saraan dan Dibebaskan (BBDSB) pada 11 Jun lalu.

“Semua fungsi kawal selia industri penerbangan, merangkumi aspek teknikal dan ekonomi, akan disatukan di bawah CAAM. Ini sejajar dengan usaha kerajaan memperkukuh institusi penerbangan negara agar sistem kawal selia kita kekal berwibawa, kompeten serta memenuhi piawaian antarabangsa.

“Langkah ini juga mengurangkan pertindihan fungsi antara agensi dan meningkatkan kecekapan struktur kawal selia,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.

Menurut beliau, model kawal selia tunggal yang bakal dilaksanakan itu selaras dengan amalan terbaik antarabangsa yang terbukti lebih berkesan dalam memastikan penyelarasan industri penerbangan.

Anthony turut memaklumkan bahawa dengan status BBDSB, CAAM akan mempunyai autonomi yang lebih luas dalam pengurusan kewangan, sumber manusia dan keupayaan membuat keputusan, sekali gus membantu menarik serta mengekalkan bakat berkemahiran tinggi, khususnya Pegawai Teknikal Berkelayakan (Qualified Technical Personnel – QTP).

“Ini penting untuk menjamin tahap keselamatan dan sekuriti industri penerbangan negara selain membolehkan CAAM melaksanakan strategi jangka panjang dan meningkatkan keupayaan teknikal serta operasi mengikut piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa,” jelasnya.

Beliau menambah, seramai 57 kakitangan Mavcom akan ditawarkan penempatan bersesuaian di CAAM sebelum 1 Ogos berdasarkan pengalaman dan kemahiran mereka. - Media Telus

 

+ - reset