TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isteri Tun Daim berjaya tangguh pembekuan aset RM758 juta di London

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 24 Jun – Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, serta keluarganya berjaya mendapatkan penangguhan sementara terhadap perintah pembekuan tujuh aset hartanah milik mereka di London yang dianggarkan bernilai 132 juta pound sterling (kira-kira RM758.2 juta).

Perintah penangguhan itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid selepas membenarkan permohonan peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Na’imah Abdul Khalid dan keluarganya dalam prosiding ex parte (sebelah pihak) pagi tadi.

Mahkamah menetapkan 9 Julai ini untuk mendengar permohonan tujuh pihak, termasuk Yayasan Ilham, bagi menjadi pencelah dalam kes tersebut. Hakim turut membenarkan Na’imah menjadi pencelah dalam prosiding secara inter parte (melibatkan kedua-dua pihak), yang difailkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Permohonan hendaklah difailkan dan disampaikan dalam tempoh 14 hari,” kata hakim.

Terdahulu, pada 3 Jun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan SPRM untuk membekukan tujuh aset di London yang dikaitkan dengan isteri bekas ahli politik itu, termasuk:

  • Dua bangunan komersial di St Mary Axe (dibeli pada 2013, bernilai £23.7 juta atau RM136.2 juta) dan One Crown Court, Cheapside (dibeli pada 2014, bernilai £31.5 juta atau RM181 juta)

  • Lima kediaman mewah, antaranya di Bryanston Square, Bryanston Mews dan Lancaster Gate (dibeli pada 2021, keseluruhan bernilai lebih £77 juta atau RM443.2 juta)

  • Satu akaun bank yang berdaftar atas nama Yayasan Ilham

Sementara itu, dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim K. Muniandy, mahkamah menetapkan 1 Ogos untuk mendengar permohonan Na’imah menjadi pencelah dalam satu lagi kes berkaitan pembekuan 12 akaun pelaburan bernilai RM544 juta di Singapura, yang turut dikaitkan dengan beliau, keluarga dan sekutu.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Iman Wan Mohd Afzal, memberitahu mahkamah bahawa siasatan awal mendapati aset tersebut menggunakan sumber pendapatan dari Malaysia dan tidak pernah diisytiharkan.

“Kita mohon pembekuan sementara sebelum aset tersebut dilupuskan,” katanya.

Namun, pihak pembelaan berhujah bahawa sebarang perintah pembekuan mesti dilakukan secara inter parte.

“Kami tidak menghalang siasatan atau permohonan oleh SPRM, tetapi prosedur mestilah dipatuhi,” kata Gurdial. – Media Telus.

+ - reset