TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pekerja ladang bakal terima gaji permulaan RM1,800 sebulan, lebih tinggi dari kadar minimum

By
|
Kongsi
image

Oleh NUR LELA ZULKIPLI

KUALA LUMPUR 23 Jun - Lebih 5,000 pekerja ladang di seluruh negara bakal menikmati kenaikan gaji sehingga 12 peratus hasil pemeteraian serentak enam perjanjian kolektif antara All Malayan Estates Staff Union (AMESU) dengan enam pihak majikan dalam sektor perladangan.

Perjanjian bersejarah itu disaksikan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong pada majlis yang berlangsung di sini, sekali gus menandakan kejayaan terbesar AMESU dalam usaha memperjuangkan kebajikan ahlinya sejak ditubuhkan pada tahun 1927.

Menurut Setiausaha Agung AMESU, R. Jey Kumar, kenaikan gaji berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 dengan pekerja turut layak menerima tunggakan gaji antara RM3,000 hingga RM10,000 bergantung kepada gred jawatan, tempoh perkhidmatan dan elaun masing-masing.

“Perjanjian ini menetapkan gaji permulaan RM1,800 sebulan, iaitu lebih tinggi daripada kadar gaji minimum RM1,700 sebelum ini. Ia mencerminkan satu langkah besar dalam usaha memastikan pendapatan yang lebih bermaruah untuk pekerja ladang,” katanya di sini, hari ini.

Tambahnya, perjanjian kolektif yang dimeterai bersama Malayan Agricultural Producers Association (MAPA), IOI Group of Companies, Dara Lam Soon Sdn Bhd, Arah Kawasan Sdn Bhd, HK Gua Musang Sdn Bhd dan YPJ Plantations Sdn Bhd itu juga memberi pelbagai manfaat tambahan sebagai galakan meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan warga kerja.

AMESU turut merakamkan penghargaan kepada Steven Sim atas kesudian hadir menyaksikan majlis tersebut, yang disifatkan sebagai tanda komitmen kerajaan dalam memperkukuh agenda kebajikan pekerja di negara ini.

Majlis ini menjadi sejarah tersendiri apabila buat pertama kali enam perjanjian kolektif berjaya dimeterai serentak, sekali gus menjadi penanda aras baharu dalam perjuangan hak pekerja sektor perladangan. - Media Telus

+ - reset