TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Isu lama viral semula, JPN nafi beri kad pengenalan biru kepada warga Pakistan

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 Jun - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan bahawa beberapa warga Pakistan memperoleh kad pengenalan biru secara mudah, dengan menjelaskan bahawa isu itu adalah aduan lama yang ditularkan semula.

Dalam satu kenyataan hari ini, JPN memaklumkan bahawa tindakan undang-undang sudah diambil terhadap pemegang kad pengenalan Mohd Izaz Abit yang menggunakan sijil kelahiran orang lain untuk mendapatkan dokumen berkenaan.

"Kad pengenalan itu sudah dirampas selepas pengakuan diperoleh daripada individu terbabit serta penganjur permohonan," katanya.

JPN turut menjelaskan semakan terhadap nombor kad pengenalan lain yang ditularkan mendapati mereka adalah warganegara Malaysia mengikut kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan.

"Pemegang kad pengenalan Abd Rauf Hamzah dan Mohd Abzah Ulamai Dar berstatus warganegara secara kuat kuasa undang-undang, masing-masing di bawah Perkara 14(1)(b) dan Perkara 14(1)(a).

"Pemegang kad pengenalan Said Bashar Shah Zadar pula berstatus warganegara secara kuat kuasa undang-undang di bawah Perkara 14(1)(b) dengan pengesahan bahawa bapanya adalah warga tempatan sejak 6 Mac 1958," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, tular dakwaan kononnya warga Pakistan mudah memperoleh kad pengenalan biru, dengan mendakwa pejabat JPN di Sabah sering dipenuhi warga negara itu untuk membuat permohonan kad pengenalan.

JPN menegaskan, kelayakan untuk dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia memerlukan pembuktian yang jelas daripada pemohon dan pertimbangan permohonan adalah tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 dan perundangan berkaitan.

"Permohonan yang dikemukakan tidak menjamin kelulusan kerana sebagai negara berdaulat, Malaysia tidak memberikan kewarganegaraan secara sewenang-wenangnya atau sebarang keistimewaan tertentu," katanya.

+ - reset