TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Pengerusi NGO di Melaka suspek utama seleweng dana RM26 juta - Azam Baki

By
|
Kongsi
image

 

 

PUTRAJAYA 25 Jun - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenal pasti pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Melaka sebagai suspek utama dalam kes penyelewengan dana RM26 juta yang dikumpul hasil sumbangan orang awam untuk tujuan kebajikan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan mendapati dana berkenaan dipindahkan dari akaun rasmi NGO itu ke akaun individu tertentu dipercayai untuk kegunaan peribadi, termasuk pembelian aset seperti tanah dan bangunan.

“Kita kesan suspek membelanjakan dana untuk diri sendiri termasuk membeli harta seperti tanah dan bangunan menggunakan sumbangan orang ramai bagi membantu masyarakat Syria dan tujuan kebajikan lain,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Azam memaklumkan lima individu termasuk pengerusi dan pengurus kewangan NGO itu yang sebelum ini direman tujuh hari telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk usaha mengesan semua transaksi dan harta yang diperoleh menggunakan dana tersebut,” jelasnya.

Menurut Azam, NGO itu berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan dikategorikan sebagai badan awam dalam konteks undang-undang SPRM.

“Justeru, sebarang penyalahgunaan kuasa oleh individu memegang jawatan dalam organisasi itu boleh disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.

Dalam operasi Op Serantau baru-baru ini, SPRM menahan lima individu termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan NGO berkenaan.

SPRM turut menyita pelbagai aset bernilai lebih RM8 juta, termasuk wang tunai melebihi RM1 juta, barang kemas dianggarkan bernilai RM100,000, akaun kripto kira-kira RM650,000, serta empat unit rumah bernilai lebih RM1.4 juta.

 

+ - reset