Berita Berita
SPRM sahkan pihak berkuasa UK setuju beku aset keluarga, proksi Tun Daim bernilai RM700 juta di London - Azam Baki

PUTRAJAYA 25 Jun - Pihak berkuasa United Kingdom (UK) bersetuju memfailkan perintah larangan terhadap aset dan harta bernilai kira-kira RM700 juta yang dikaitkan dengan keluarga dan proksi Allahyarham Tun Daim Zainuddin, susulan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata persetujuan pihak berkuasa UK itu dimaklumkan kepada SPRM semalam selepas agensi itu memohon meminda beberapa perkara berkaitan perintah larangan berkenaan di mahkamah.
"Susulan itu kita turut memaklumkan kepada pihak berkuasa UK dan semalam, kita mendapat makluman, mereka juga memfailkan perintah itu di UK.
"Ia menjadi perkembangan baharu di mana mereka bersetuju dengan permohonan (restraining order) SPRM dan kes ini akan diteruskan pula di mahkamah UK," katanya dalam laporan Berita Harian pada sidang media di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa SPRM berjaya membekukan tujuh hartanah dan satu akaun bank termasuk tiga kediaman mewah di London yang didakwa milik isteri Allahyarham Tun Daim, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, dan keluarga. Nilai keseluruhan aset itu dianggarkan berjumlah GBP132 juta (RM758.2 juta).
Hasil siasatan SPRM mendapati aset berkenaan berkaitan dengan dakwaan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Pada masa sama, Mahkamah Tinggi sebelum ini menggantung sementara perintah pembekuan tujuh hartanah dan satu akaun bank tersebut selepas membenarkan permohonan peguam Na'imah, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.
Mengulas lanjut, Azam berkata pihaknya kini menunggu prosiding pada 9 Julai ini berhubung permohonan tujuh pihak termasuk Yayasan Ilham untuk menjadi pencelah dalam kes itu.
"Mungkin cara penyampaian pemberitaan (tidak tepat) tetapi saya difahamkan ada pencelah yang ditetapkan mahkamah pada 9 Julai kerana sebelum ini tiada dimasukkan pencelah. Jadi apabila ada pencelah, mahkamah perlu membuat keputusan untuk didengar pengurusan kes," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pembekuan aset masih berkuat kuasa dan pihak SPRM akan terus mengemas kini perkembangan berkaitan keputusan mahkamah kepada pihak berkuasa UK.
Berita berkaitan
June 25, 2025, 9:25 pm
Kementerian Kewangan, pemain industri duduk semeja bincang impak pelaksanaan SST
June 25, 2025, 8:13 pm
Kota Madani bakal jadi mercu tanda baharu, kenderaan hanya dibenar lalu bawah tanah sahaja
June 25, 2025, 5:55 pm
Pengerusi NGO di Melaka suspek utama seleweng dana RM26 juta - Azam Baki
June 25, 2025, 2:59 pm
Lelaki maut dihempap tembok ketika kerja perparitan
June 25, 2025, 2:49 pm
Andalusia nafi jemaah umrah terkandas, penerbangan ditunda akibat isu teknikal
June 25, 2025, 2:47 pm
11 syarikat kenderaan barangan 'simpan' lebih 1,000 saman tertunggak - Anthony Loke
June 25, 2025, 2:35 pm
Sokongan 55 peratus bukti keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Anwar – Farahida
June 25, 2025, 2:19 pm
Polis 3 daerah di Pahang bergabung kawal keselamatan jajaran ECRL, kes curi kabel
June 25, 2025, 2:05 pm