TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Andalusia nafi jemaah umrah terkandas, penerbangan ditunda akibat isu teknikal

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 25 Jun – Tiada jemaah umrah di bawah pengurusan Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd (Andalusia) yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebaliknya penerbangan mereka hanya ditunda dan dijadualkan semula, menurut kenyataan rasmi syarikat itu hari ini.

Penerbangan QR858 yang membawa 22 jemaah itu ditangguhkan oleh Qatar Airways atas faktor teknikal berkaitan laluan ruang udara.

Menurut pengurusan tertinggi Andalusia, perubahan jadual dibuat dua kali, termasuk penjadualan semula pada jam 2.55 pagi Rabu, selepas disahkan selamat untuk berlepas.

“Semua jemaah berada dalam keadaan baik, selesa dan dijaga sepenuhnya oleh pasukan petugas Andalusia,” jelas kenyataan itu.

Pihak Andalusia turut merujuk kenyataan rasmi Kedutaan Besar Malaysia di Doha, Qatar yang mengesahkan bahawa ruang udara Qatar telah dibuka semula, susulan penutupan sementara berkaitan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

“Perjalanan udara kini kembali beroperasi seperti biasa tertakluk kepada pengesahan semasa oleh syarikat penerbangan,” tambah kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan terdapat jemaah umrah yang didakwa terkandas di KLIA susulan penutupan ruang udara beberapa negara Arab ekoran konflik antara Iran dan Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, Andalusia menegaskan komitmen syarikat untuk menjaga kebajikan dan keselamatan jemaah, termasuk menyediakan penginapan sementara, makanan dan sokongan logistik sepanjang tempoh penantian.

“Kami turut menyediakan saluran komunikasi langsung kepada semua jemaah dan waris, serta memastikan tiada yang terabai atau terkesan secara negatif,” katanya.

Pihak pengurusan juga berkata mereka terus berhubung rapat dengan syarikat penerbangan serta Kementerian Pelancongan untuk mendapatkan perkembangan terkini bagi memastikan kelancaran ibadah umrah para jemaah. – Media Telus

+ - reset