TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Sokongan 55 peratus bukti keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Anwar – Farahida

By
|
Kongsi
image

KUANTAN 25 Jun – Dapatan terbaharu Merdeka Center yang menunjukkan 55 peratus kadar sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai bukti keyakinan rakyat terhadap kepimpinan dan dasar Kerajaan Perpaduan, kata Exco Wanita PKR Pusat, Farahida Fauzi.

Menurutnya, angka tersebut bukan sekadar statistik, sebaliknya mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap usaha berterusan, dasar inklusif dan keberanian moral Perdana Menteri yang tidak tunduk kepada tekanan populis.

“Di saat dunia dan rantau ini berdepan ketidaktentuan ekonomi, kestabilan politik di bawah Kerajaan Perpaduan menjadi faktor utama keyakinan rakyat semakin meningkat.

“Usaha memperkukuh ekonomi rakyat, reformasi institusi, pendidikan dan pembelaan terhadap golongan rentan, terutama wanita serta kanak-kanak, membuktikan kerajaan ini bukan sekadar memerintah, tetapi benar-benar memimpin,” katanya pada Rabu.

Farahida yang juga Ketua Wanita PKR Cabang Indera Mahkota, menjelaskan bahawa sayap wanita parti melihat secara dekat komitmen Anwar dalam memastikan suara wanita bukan hanya didengar, malah diberi tempat sewajarnya dalam pentadbiran negara.

“Pendekatan inklusif inilah yang menjadi nadi kepada naratif Malaysia Madani – sebuah gagasan kepimpinan yang melindungi, membina dan memimpin,” katanya.

Farahida turut menyeru rakyat untuk terus menyokong agenda reformasi dan perpaduan nasional yang sedang diusahakan oleh kerajaan.

“Kepercayaan ini adalah satu amanah. Pemimpin yang baik diuji bukan pada kata-katanya, tetapi pada amal dan istiqamahnya,” ujarnya.

Terdahulu, Merdeka Center dalam satu laporan memaklumkan bahawa 55 peratus pengundi berdaftar memberi penarafan positif terhadap Anwar pada Mei lalu, berbanding 43 peratus pada Jun 2024.

Kajian yang melibatkan 1,208 pengundi itu turut menunjukkan persepsi rakyat terhadap keadaan negara yang semakin stabil, hasil ketidakstabilan politik yang semakin reda serta pentadbiran kerajaan dengan majoriti dua pertiga di Parlimen. – Media Telus

+ - reset