Berita Berita
Kota Madani bakal jadi mercu tanda baharu, kenderaan hanya dibenar lalu bawah tanah sahaja

PUTRAJAYA 25 Jun - Pembangunan Kota Madani di Presint 19 di sini dijangka menjadi mercu tanda baharu negara menerusi konsep bandar bebas kenderaan yang mengutamakan kemampanan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti.
Presiden Institut Perancang Malaysia, Mazrina Abdul Khalid berkata, projek pembangunan seluas 102.5 ekar itu akan menempatkan 10,000 unit kediaman kuarters kerajaan bersama pelbagai kemudahan asas, termasuk sekolah, balai polis, masjid, dewan komuniti, bazar, pusat komuniti dan kemudahan TVET.
Menurutnya, walaupun konsep ini berteraskan zon bebas kenderaan, penggunaan kenderaan tetap dibenarkan tetapi dihadkan kepada kawasan bawah tanah pembangunan tersebut.
“Kenderaan akan terus masuk ke kawasan bawah tanah sebaik tiba di Kota Madani dan akan diletakkan di kawasan parkir bertingkat bawah tanah setinggi tiga tingkat.
“Di bahagian atas, bermula dari aras podium (aras lima ke atas), semua kawasan adalah zon bebas kenderaan dan dikhaskan untuk pejalan kaki sahaja,” katanya dalam taklimat teknikal kepada media di sini.
Mazrina menjelaskan, pembangunan itu direka untuk membina persekitaran sihat dan berorientasikan komuniti, di mana semua kemudahan harian boleh dicapai dalam jarak 10 hingga 15 minit berjalan kaki tanpa kebergantungan kepada kenderaan bermotor.
“Bayangkan anda boleh berjalan dari rumah ke sekolah anak, ke pasar, taman permainan, pusat komuniti atau masjid tanpa perlu melintasi sebarang jalan raya atau laluan kenderaan,” katanya.
Kota Madani akan dibangunkan secara berfasa dengan fasa pertama melibatkan 3,000 unit kediaman bersama sekolah rendah dan fasiliti asas. Fasa kedua akan membabitkan 7,000 unit tambahan bersama sekolah menengah, institusi TVET dan masjid utama, manakala fasa ketiga akan melengkapkan keseluruhan projek.
Pembangunan ini turut dilengkapi elemen bandar pintar seperti penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi pemantauan keselamatan dan pengurusan fasiliti.
Mazrina berkata, prinsip perancangan mampan turut diterapkan melalui penggunaan tenaga solar, sistem tadahan air hujan, taman bumbung, kebun komuniti serta jaringan hijau menyeluruh untuk mengurangkan jejak karbon dan mewujudkan hubungan harmoni antara manusia, masyarakat dan alam sekitar.
“Kita tekankan nilai hubungan manusia dengan pencipta, sesama manusia dan alam. Kota Madani bukan hanya pembangunan fizikal, tetapi juga pembangunan jiwa dan komuniti,” katanya.
Dengan gabungan konsep komuniti sejahtera, mobiliti pintar, pembangunan vertikal bercampur dan kawalan penuh akses kenderaan, Kota Madani dijangka menjadi penanda aras baharu pembangunan bandar masa depan negara.
Berita berkaitan
June 25, 2025, 9:25 pm
Kementerian Kewangan, pemain industri duduk semeja bincang impak pelaksanaan SST
June 25, 2025, 5:55 pm
Pengerusi NGO di Melaka suspek utama seleweng dana RM26 juta - Azam Baki
June 25, 2025, 2:59 pm
Lelaki maut dihempap tembok ketika kerja perparitan
June 25, 2025, 2:49 pm
Andalusia nafi jemaah umrah terkandas, penerbangan ditunda akibat isu teknikal
June 25, 2025, 2:47 pm
11 syarikat kenderaan barangan 'simpan' lebih 1,000 saman tertunggak - Anthony Loke
June 25, 2025, 2:35 pm
Sokongan 55 peratus bukti keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Anwar – Farahida
June 25, 2025, 2:19 pm
Polis 3 daerah di Pahang bergabung kawal keselamatan jajaran ECRL, kes curi kabel
June 25, 2025, 2:05 pm