TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MUDA tawar Syed Saddiq kembali terajui parti sebagai presiden

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 26 Jun - Jawatankuasa Eksekutif Pusat (JKEP) MUDA menawarkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk kembali menerajui parti itu sebagai Presiden susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan beliau daripada empat pertuduhan jenayah.

Pemangku Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz berkata, keputusan sebulat suara itu dicapai dalam mesyuarat JKEP semalam atas dua prinsip utama, iaitu Syed Saddiq telah membersihkan nama serta integriti beliau melalui proses mahkamah yang telus dan adil, serta komitmennya yang berterusan mempertahankan maruah dan nama baik MUDA sebagai Ahli Parlimen.

“Jawatan Presiden MUDA yang disandang Syed Saddiq sebelum ini dikosongkan dan dipangku oleh saya sepanjang proses mahkamah berlangsung.

“Saya juga ingin merekodkan bahawa keputusan parti untuk mengosongkan kerusi presiden semasa proses pendakwaan merupakan iltizam politik yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pemimpin politik lain di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amira berkata, JKEP berpandangan bahawa kepimpinan Syed Saddiq dapat mengukuhkan semula parti, terutama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Mahkamah Rayuan semalam melepas dan membebaskan Syed Saddiq selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen penting dalam kes tersebut, termasuk dakwaan memperoleh keuntungan secara salah serta menyebabkan kerugian kepada ARMADA BERSATU.

Menurut Amira lagi, JKEP menghormati keperluan Syed Saddiq untuk mempertimbangkan tawaran itu dan bersetuju memberikan ruang secukupnya kepada beliau.

“Selepas lima tahun berdepan pendakwaan dan proses mahkamah, saya amat memahami keperluan untuk parti memberi ruang kepada beliau memberi keutamaan kepada keluarga sebelum kembali menggalas amanah sebagai Presiden.

“Bagi saya, keluarga lebih utama. Saya juga ingin mengingatkan bahawa beliau masih kekal berkhidmat sepenuh masa sebagai Ahli Parlimen Muar. Politik khidmat beliau tidak pernah culas, dan perkara ini tidak pernah berubah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa itu. – Media Telus

+ - reset