Berita Berita
AGC fail rayuan keputusan bebas Syed Saddiq

KUALA LUMPUR 26 Jun - Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Dalam kenyataannya, AGC menjelaskan bahawa proses rayuan adalah sebahagian daripada sistem kehakiman negara yang membolehkan semakan terhadap keputusan mahkamah lebih rendah.
“Selepas meneliti dan mempertimbangkan keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, jabatan ini telah memfailkan Notis Rayuan pada hari ini terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan itu.
“Ia adalah amalan biasa dalam proses perundangan negara dan tidak mencerminkan sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak,” kata kenyataan tersebut.
AGC memaklumkan, pemfailan rayuan ini bertujuan memastikan isu-isu perundangan daripada keputusan Mahkamah Rayuan dapat diteliti dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan selaras dengan prinsip keadilan serta tadbir urus undang-undang yang telus.
Semalam, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan serta denda RM10 juta yang diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Sepanjang prosiding, Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik, manakala pihak pendakwaan diwakili Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Farah Ezlin Yusop Khan.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dana Armada RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana berkenaan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral pada 6 Mac 2020.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri antara 8 hingga 21 April 2018.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan pemindahan wang RM50,000 setiap satu ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya pada 16 dan 19 Jun 2018.
Kesemua pertuduhan membawa hukuman penjara, sebatan dan denda mengikut peruntukan Kanun Keseksaan serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Berita berkaitan
June 26, 2025, 2:32 pm
Cebisan daging bertaburan atas jalan, pelajar Tingkatan 3 antara 2 maut lumba haram di SKVE
June 26, 2025, 2:01 pm
Lelaki dijel sebulan tunggang basikal hingga sebabkan kemalangan maut
June 26, 2025, 1:38 pm
Operasi cari nelayan hilang di perairan Kuala Terengganu diteruskan hari ini
June 26, 2025, 1:33 pm
Steven Sim tidak berganjak lawan Zaharuddin isu pelantikan Johnny Lim
June 26, 2025, 1:28 pm
Warga emas aktif pecah rumah diberkas, polis rampas barangan mewah bernilai RM300,000
June 26, 2025, 1:22 pm