TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Dipaksa 'squat' letak selipar atas kepala selama 40 minit, 5 pelajar ditahan buli junior di asrama

By
|
Kongsi
image

BESUT 26 Jun - Polis menahan lima pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di daerah ini bagi membantu siasatan kes membuli seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang berlaku di asrama sekolah berkenaan pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, mangsa mendakwa dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, dia dipaksa duduk dalam posisi separa mencangkung dengan kepala diletakkan selipar selama hampir 40 minit.

“Remaja itu turut mendakwa ditumbuk pada bahagian perut dan ditampar di muka, mengakibatkan kesakitan di perut serta rusuk dan lebam pada bahagian belakang badan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Azamuddin menjelaskan, seorang warden asrama yang menyedari kejadian itu segera membawa mangsa bersama semua suspek ke pejabat warden untuk tindakan lanjut.

Ibu bapa mangsa yang dimaklumkan mengenai insiden tersebut kemudiannya membawa anak mereka ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

+ - reset