TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Polis tahan 3 individu termasuk 2 wanita dipercayai ada kaitan kes bunuh penuntut IPTS di Cyberjaya

By
|
Kongsi
image

SEPANG 27 Jun - Polis berjaya menahan tiga individu termasuk dua wanita bagi membantu siasatan kes pembunuhan tragis melibatkan seorang penuntut wanita sebuah universiti swasta di Cyberjaya, awal minggu ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia antara 19 hingga 20 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu melibatkan pasukan dari Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang.

“Tangkapan dilakukan dalam tempoh kurang 48 jam selepas laporan diterima, menerusi serbuan di beberapa lokasi sekitar Johor Bahru dan Gemencheh, Negeri Sembilan antara jam 9 pagi Khamis hingga 2 pagi Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, permohonan reman terhadap kesemua suspek sedang dibuat bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mengulas lanjut, Norhizam menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh mengganggu siasatan polis.

Sebelum ini, polis menerima laporan pada jam 10.28 pagi Selasa lalu berhubung penemuan mayat seorang penuntut wanita berusia 20 tahun di sebuah unit kediaman di Cyberjaya.

Pemeriksaan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan pecah masuk, namun siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan ketara di bahagian kepala.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat dan hasil awal mendapati kematian disebabkan hentakan kuat di kepala, manakala tiada tanda menunjukkan mangsa diserang secara seksual. - Media Telus

+ - reset