TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ramai yang tidak senang, Anwar minta penjawat awam pertahan pembangunan Kota Madani

By
|
Kongsi
image

PUTRAJAYA 30 Jun - Penjawat awam diseru mempertahankan pembangunan Kota Madani yang menjadi mercu tanda baharu pendekatan kerajaan dalam penyediaan perumahan rakyat, khususnya untuk penjawat awam. Projek berimpak tinggi itu bukan sekadar penyediaan tempat tinggal, tetapi menitikberatkan elemen kemasyarakatan, kesejahteraan hidup dan kelestarian alam sekitar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kota Madani menampilkan dimensi baharu pembangunan bandar yang holistik dan tidak seharusnya dipertikai oleh mana-mana pihak.

“Kita tahu masalah perumahan untuk penjawat awam. Yang menunggu beribu, yang rosak pun beribu unit. Namun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, 98 peratus rumah yang rosak telah dibaiki dan diduduki.

“Sebab itu apabila ada usul untuk bangunkan kota baharu ini, kita siapkan fasa pertama dengan 3,000 unit dan fasa kedua melibatkan tambahan 10,000 unit. Ia bukan sekadar rumah biasa. Sekolah, masjid, gimnasium, ruang hijau semua diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, pada Isnin.

Menurut Anwar, pembangunan Kota Madani dilaksanakan dengan keupayaan pihak swasta tanpa membebankan kerajaan, sekali gus menafikan dakwaan kononnya terdapat kepentingan kontraktor tertentu.

“Ramai yang tidak senang. Entah dia mewakili kontraktor lain atau ada kepentingan tertentu, saya tidak faham. Tetapi Perbadanan Putrajaya mampu mengurus sendiri tanpa membebankan kerajaan,” ujarnya.

Anwar turut menyentuh perancangan pembangunan moden yang merangkumi struktur tempat letak kereta bawah tanah dan reka bentuk bandar yang membolehkan semua keperluan harian diakses dalam tempoh 10 hingga 15 minit berjalan kaki.

Beliau berharap penjawat awam dapat memahami dan menyokong pendekatan baharu ini yang selari dengan nilai-nilai Madani.

Projek Kota Madani yang terletak di Presint 19, Putrajaya, dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM4 bilion, dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) menerusi model kerjasama awam-swasta berkonsepkan Build-Lease-Maintain-Transfer (Bina–Pajak–Selenggara–Pindah, BLMT), tanpa melibatkan sebarang peruntukan kerajaan pada peringkat awal.

Pembangunan ini bakal merangkumi 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, termasuk sekolah menegak serta pelbagai kemudahan awam.

Ia juga dirangka dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital pintar dan sistem mobiliti hijau.

Kemudahan lain yang dirancang termasuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekolah, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis, masjid, institusi kewangan serta reka bentuk berunsur budaya tempatan bagi mengekalkan warisan seni bina.

+ - reset