TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Empat bilik guru SMK Dang Anum musnah dalam kebakaran awal pagi

By
|
Kongsi
image

 

JASIN 3 Julai – Sebuah bangunan menempatkan bilik guru dan pejabat pentadbiran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum, Merlimau musnah dalam kebakaran awal pagi Khamis.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 5.30 pagi dan mengakibatkan empat bilik guru di tingkat satu bangunan sekolah berkenaan musnah hampir 80 peratus.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Sukur Md Ali berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan memandangkan sesi persekolahan belum bermula ketika kejadian.

“Bomba menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 pada jam 5.36 pagi sebelum jentera pertama dikejarkan ke lokasi dua minit kemudian.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang tiba di tempat kejadian mendapati benar berlaku kebakaran melibatkan bilik guru di tingkat satu bangunan sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 80 x 60 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan sebanyak 80 peratus.

Pasukan bomba kini sedang giat menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki serta tiga pancutan air dari pili bomba.

Seramai 19 anggota dari empat balai iaitu BBP Merlimau, BBP Jasin, BBP Padang Temu dan BBP Bukit Katil terbabit dalam operasi tersebut.

“Setakat jam 7 pagi, operasi masih diteruskan dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

+ - reset