TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Malaysia-Itali eratkan hubungan dagang, Anwar terajui rundingan

By
|
Kongsi
image

ROM 3 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Itali, Antonio Tajani mempengerusikan Sesi Meja Bulat Perkongsian Ekonomi Malaysia-Itali yang berlangsung di ibu negara Itali, hari ini.

Sesi itu menghimpunkan lebih 100 syarikat dari kedua-dua negara melibatkan pelbagai sektor termasuk pembuatan, perkhidmatan, perdagangan serta agensi dan pertubuhan industri.

Menerusi hantaran di platform X, Anwar memaklumkan sesi tersebut mencerminkan iltizam bersama dalam memperkukuh hubungan dagang serta memperluas peluang pelaburan strategik antara Malaysia dan Itali.

Menurut beliau, Malaysia kekal komited terhadap prinsip perdagangan bebas dan terbuka sebagai teras kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif, mampan dan berdaya tahan.

“Dalam landskap global yang semakin mencabar, kestabilan dan keamanan antarabangsa menjadi asas penting kepada kemakmuran ekonomi serta peluang sinergi rentas sempadan yang harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti perniagaan,” katanya.

Anwar turut menambah, sesi berkenaan berjaya memperkukuh keyakinan pemain industri Itali terhadap dasar keterbukaan, kecekapan tadbir urus dan daya saing ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, penyertaan aktif syarikat terkemuka dari kedua-dua negara menyerlahkan potensi besar dalam memperluas kerjasama dua hala yang lebih berimpak tinggi, berpaksikan nilai tambah, inovasi dan kepentingan bersama.

“Ia membuka prospek luas dalam sektor strategik seperti tenaga boleh baharu, teknologi pemerangkapan dan penyimpanan karbon, pertahanan, ekonomi digital, aeroangkasa dan industri berteknologi tinggi, bidang utama yang menjadi tonggak kepada agenda reformasi ekonomi negara,” katanya. – Media Telus

+ - reset