Berita Berita
Sultan Pahang titah sempadan negara diperkukuh, vape perlu diharamkan

KUALA LUMPUR 3 Julai – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menitahkan supaya sempadan negara diperkukuh bagi membanteras penyeludupan dadah yang semakin membimbangkan.
Baginda bertitah, kawalan ketat perlu dilaksanakan di pintu masuk utama negara termasuk lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan darat kerana ia dikenal pasti sebagai laluan utama kemasukan bekalan dadah ke dalam negara.
“Pokoknya, punca tu datang dari mana? Perlu memperkukuh sempadan... itu yang puncanya.
“Baik di sempadan ataupun terminal lapangan terbang, kapal... semua ini memerlukan pengawasan rapi,” titah baginda dalam pertemuan bersama barisan kepimpinan Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA), di sini pada Rabu.
Barisan kepimpinan PERTAMA diketuai oleh Presidennya, Sariha Mohd Ali bersama Timbalan Presiden, Nasriah Darus; Setiausaha, Nor Hasliza Abdullah; Bendahari, M Saraswathi serta ahli jawatankuasa lain.
Al-Sultan Abdullah turut melahirkan kebimbangan terhadap penularan gejala dadah dalam kalangan belia dan menegaskan keperluan memperkukuh penguatkuasaan agar undang-undang benar-benar memberi kesan.
Baginda turut mendedahkan wujudnya trend baharu penyeludupan dadah menggunakan kapal nelayan di tengah laut, khususnya di negeri-negeri pantai timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang, sekali gus memerlukan pengawasan menyeluruh di kawasan terbabit.
Terdahulu, pada November tahun lalu, baginda bertitah bahawa angka penagih dadah di Pahang berada pada tahap amat membimbangkan, dengan 11,750 penagih aktif dilaporkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan sokongan terhadap usaha mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape secara menyeluruh kerana kesan buruknya kepada kesihatan dan masa depan generasi muda.
“Vape ini patut diharamkan secara menyeluruh. Jangan rasa simpati, kita akan memudaratkan lagi bangsa kita,” titah baginda sambil menambah bahawa negeri Pahang telah mengambil langkah awal ke arah pelaksanaan larangan itu.
Baginda menjelaskan bahawa pengharaman vape di Pahang akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri untuk proses penggubalan undang-undang sebelum dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Saya tegaskan bahawa kita kini sedang dalam proses memberi kefahaman kepada rakyat bahawa vape ini bahan larangan. Ia hanya tunggu masa untuk dikuatkuasakan,” titah baginda.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Pahang pada Jun lepas bersetuju mengharamkan penggunaan rokok elektronik berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Pahang, menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad. – Media Telus
Berita berkaitan
July 3, 2025, 3:50 pm
Jovian Mandagie kini diisytihar muflis, gagal bayar pinjaman RM5.28 juta
July 3, 2025, 2:18 pm
Ejen tarik kereta ditahan halang laluan lebuh raya berhampiran R&R Pedas-Linggi
July 3, 2025, 12:22 pm
Pusat 'car wash' di JB hampir lumpuh, 147 PATI ditahan
July 3, 2025, 11:53 am