Berita Berita
Bimbang peningkatan HIV dalam kalangan pelajar IPT, seru hentikan normalisasi maksiat - Mohd Na'im

KUALA LUMPUR 3 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes jangkitan HIV dalam kalangan generasi muda, khususnya penuntut institusi pengajian tinggi (IPT).
Beliau menegaskan bahawa gejala sosial dan keruntuhan nilai moral merupakan antara punca utama peningkatan jangkitan HIV dalam kalangan anak muda hari ini.
“Sudah tiba masanya kita berhenti menormalisasikan maksiat atas nama kebebasan peribadi. Bangkitlah membina benteng akhlak dan rohani,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook beliau hari ini.
Dalam seruannya kepada para pelajar dan golongan muda, beliau menekankan pentingnya menjaga maruah dan nilai diri.
“Agama bukan sekadar pelajaran, ia panduan kehidupan. Hiduplah dengan prinsip, bukan sekadar ikut arus,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, mendedahkan bahawa seramai 222 pelajar IPT berusia antara 18 hingga 19 tahun dikesan menghidap HIV pada tahun lalu.
Secara keseluruhan, sebanyak 1,091 kes jangkitan HIV direkodkan dalam kalangan pelajar IPT bagi tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im menegaskan bahawa aspek pendidikan, kesedaran dan penguatkuasaan perlu digerakkan secara seiring bagi menangani isu ini secara menyeluruh.
Beliau turut menyeru agensi agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi pendidikan untuk berganding bahu menyelamatkan generasi muda yang bakal mewarisi kepimpinan negara.
“Kerajaan MADANI komited membina masyarakat yang bukan sahaja maju dari segi intelek, tetapi juga sihat dari segi akhlak dan spiritual,” katanya. – Media Telus
Berita berkaitan
July 3, 2025, 6:41 pm
MAIPk sahkan lelaki OKU tular terima bantuan tetap sejak 2016
July 3, 2025, 6:08 pm
Pegawai, anggota SPRM gemuk tidak akan dinaikkan pangkat - Azam Baki
July 3, 2025, 5:18 pm
Pemandu bot tragedi Pulau Perhentian mengaku bersalah ambil dadah
July 3, 2025, 4:06 pm
Budak perempuan 2 tahun tahan sakit kepala tersepit celah besi di taska
July 3, 2025, 3:50 pm