TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

150 ditahan dalam serbuan pusat cuci kenderaan sekitar Johor Bahru

By
|
Kongsi
image

JOHOR BAHRU 3 Julai – Sebanyak 64 pusat mencuci kenderaan sekitar bandar raya ini ‘lumpuh’ selepas polis menahan seramai 150 individu dalam operasi bersepadu yang dijalankan semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar, berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 147 lelaki warga asing dan tiga lelaki tempatan, berusia antara 21 hingga 57 tahun.

Beliau berkata operasi tersebut bertujuan memastikan pematuhan undang-undang oleh pengusaha premis cucian kenderaan serta membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Tangkapan dibuat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas atau permit; Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan sah; dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 bagi kesalahan berkaitan perjudian dalam talian, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 berhubung pengambilan dadah berdasarkan ujian air kencing.

Selain itu, katanya, terdapat juga tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan menyambung bekalan air secara haram mengikut Seksyen 89(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut mengeluarkan kompaun ke atas pengusaha yang gagal mempamer papan tanda, mempunyai lesen tamat tempoh serta tidak mencatat nama perakuan perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula mengambil tindakan kompaun atas kesalahan gagal mempamer tag harga mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Pihak berkuasa tempatan turut menyita peralatan serta mengeluarkan kompaun terhadap premis yang menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Operasi ini berjaya mencapai objektif dalam memastikan pematuhan undang-undang oleh pengusaha pusat cuci kenderaan serta membanteras penglibatan PATI dan elemen jenayah lain yang dikenal pasti,” jelas Kumar. – Media Telus

+ - reset