TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ellron nafi terlibat skandal rasuah perlombongan, sifatkan dakwaan bermotif politik

By
|
Kongsi
image

KOTA KINABALI 3 Julai – Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Ellron Angin, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terlibat dalam skandal rasuah perlombongan di Sabah seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita baru-baru ini.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata, dakwaan tersebut adalah fitnah bermotifkan politik dan bertujuan mencemarkan reputasi serta integritinya sebagai wakil rakyat.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya menerima suapan atau terlibat dalam transaksi bernilai RM530,000.

“Tuduhan ini adalah fitnah yang tidak berasas dan bermotifkan politik tidak matang serta mencemarkan nama baik saya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ellron turut merujuk laporan bertajuk "Lagi Kejutan Sabah: Skandal Pelombongan Selubungi STAR, Pemimpin Tertinggi PBS" yang disiarkan pada 28 Jun lalu sebagai sumber kepada dakwaan tersebut.

Tegasnya lagi, beliau sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus bersih, selaras dengan komitmen kerajaan negeri Sabah dalam usaha membanteras rasuah.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan pasukan undang-undang untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan tuduhan palsu ini. Saya tidak akan berdiam diri, kebenaran mesti ditegakkan,” katanya.

Ellron merupakan antara beberapa pemimpin dari STAR dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang tampil menafikan penglibatan mereka dalam skandal tersebut selepas pendedahan dibuat oleh portal berita terbabit. – Media Telus

+ - reset