TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

KKM jelaskan isu kesesakan di Klinik Ortopedik Hospital Sungai Buloh

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 3 Julai – Kementerian Kesihatan (KKM) tampil memberi penjelasan susulan penularan gambar dan aduan orang awam berhubung kesesakan di Klinik Pakar Ortopedik, Hospital Sungai Buloh pada 30 Jun lalu.

Dalam kenyataan hari ini, KKM memaklumkan seramai 158 pesakit hadir ke klinik berkenaan pada hari tersebut dan dikendalikan oleh tiga pakar serta tiga pegawai perubatan mengikut jadual dan kapasiti sedia ada.

Menurut KKM, jumlah yang tular di media sosial kononnya melebihi 300 orang dipercayai turut merangkumi ahli keluarga dan penjaga pesakit yang hadir bersama.

“Ini adalah amalan biasa di fasiliti kesihatan awam, khususnya bagi warga emas dan kanak-kanak. Kami memahami kesulitan yang dihadapi pesakit dan keluarga, terutama berkaitan masa menunggu,” jelas kenyataan itu.

KKM turut mengakui beban kes di hospital rujukan seperti Hospital Sungai Buloh adalah tinggi, namun menegaskan usaha penambahbaikan sedang giat dilaksanakan secara berterusan untuk memperbaiki aliran pesakit dan mutu perkhidmatan.

Sebelum ini, tular di media sosial keluhan beberapa individu yang mendakwa terpaksa menunggu berjam-jam untuk mendapatkan rawatan di klinik tersebut. – Media Telus

+ - reset