Berita Berita
Syarikat ais dan makanan sejuk beku tangguh kenaikan harga selepas perbincangan dengan KPDN

PUTRAJAYA 3 Julai – Dua syarikat yang tular di media sosial kerana didakwa akan menaikkan harga ais dan makanan sejuk beku bersetuju menangguhkan cadangan tersebut selepas perbincangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Sebelum ini, tular dakwaan bahawa harga sebongkah ais akan dinaikkan daripada RM3.70 kepada RM6, manakala produk makanan sejuk beku pula dikatakan akan meningkat sebanyak 10 peratus bermula bulan ini.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata dalam pertemuan pada 1 Julai lalu, pihak kementerian telah mendapatkan penjelasan daripada wakil kedua-dua syarikat berhubung maklumat tular itu.
“Kedua-dua pihak tidak menyatakan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai punca kenaikan, sebaliknya menyebut faktor seperti peningkatan kos operasi,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Apresiasi Rakan Strategik Penguatkuasaan Sempena Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN Ke-53, hari ini.
Menurut Armizan, dalam perbincangan tersebut, kedua-dua syarikat bersetuju untuk menangguhkan cadangan kenaikan harga produk mereka ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, bagi memberi ruang menilai semula keseluruhan kos.
“KPDN turut memberi nasihat sewajarnya kepada wakil syarikat tersebut. Jika benar mereka mahu menaikkan harga, mereka perlu mengemukakan maklumat tertentu seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar terus membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat mana-mana premis yang didapati menaikkan harga barangan secara tidak munasabah. – Media Telus
Berita berkaitan
July 3, 2025, 6:41 pm
MAIPk sahkan lelaki OKU tular terima bantuan tetap sejak 2016
July 3, 2025, 6:08 pm
Pegawai, anggota SPRM gemuk tidak akan dinaikkan pangkat - Azam Baki
July 3, 2025, 5:18 pm
Pemandu bot tragedi Pulau Perhentian mengaku bersalah ambil dadah
July 3, 2025, 4:06 pm
Budak perempuan 2 tahun tahan sakit kepala tersepit celah besi di taska
July 3, 2025, 3:50 pm