TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

5,121 anggota polis bertugas jaga keselamatan, kelancaran Persidangan ASEAN 8 hingga 11 Julai ini

By
|
Kongsi
image

 

KUALA LUMPUR 3 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menugaskan seramai 5,121 anggota bagi memastikan kelancaran dan keselamatan Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan Mesyuarat Berkaitan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 8 hingga 11 Julai ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim, berkata PDRM telah merangka pelan keselamatan terperinci serta melaksanakan pemantauan berterusanbagi memastikan persidangan berprestij itu berjalan dalam keadaan aman dan terkawal.

“PDRM sudah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan kesiapsiagaan tinggi menjelang mesyuarat ini dan fokus utama tertumpu kepada keselamatan orang kenamaan (VIP), kawalan lalu lintas serta pengendalian situasi kecemasan.

"Pasukan ini akan menggunakan teknologi canggih seperti sistem pengecaman wajah dan pengesanan bahan letupan untuk memastikan acara berjalan lancar,” katanya hari ini.

Azmi turut menjelaskan, penugasan anggota melibatkan gabungan kekuatan pelbagai jabatan dan unit termasuk Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Jabatan Pengurusan, Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Tindakhas (UTK), 69 Komando, serta Cawangan Khas.

Selain lokasi utama persidangan, katanya kawalan keselamatan turut diperluaskan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, serta lokasi penginapan delegasi dan zon ketibaan yang diwartakan sebagai kawasan larangan atau separa larangan.

“Kawalan keselamatan turut dilaksanakan di lokasi penginapan delegasi dan zon tertentu di sekitar kawasan ketibaan delegasi yang akan diwartakan sebagai kawasan larangan atau separa larangan dengan akses terhad diberikan kepada individu tertentu saja,” katanya.

Bagi memastikan perancangan keselamatan berjalan lancar, Azmi berkata beberapa siri latihan dan simulasi keselamatan telah dijalankan bagi memperkukuh koordinasi dalaman dan antara agensi yang terlibat.

“Latihan dan simulasi keselamatan itu antaranya membabitkan latihan pergerakan konvoi serta pengujian sistem keselamatan seperti mesin pengimbas dan e-gate di lokasi persidangan serta hotel penginapan delegasi,” katanya lagi.

Persidangan ini dijangka menjadi platform penting untuk perbincangan strategik antara negara-negara anggota ASEAN dalam pelbagai isu serantau dan global, justeru persiapan rapi pihak keselamatan adalah elemen kritikal bagi kejayaan penganjurannya.

+ - reset