TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Lelaki mati ditembak di Ipoh disyaki babit sindiket jenayah terancang antarabangsa – Polis

By
|
Kongsi
image

 

IPOH 3 Julai - Polis mengesahkan kes pembunuhan seorang lelaki berusia 57 tahun di Taman Tasek Damai minggu lalu merupakan satu jenayah terancang yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata siasatan awal mendapati kes tersebut melangkaui sempadan negara dan kini dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Kita menjalankan siasatan terperinci dan kes kemudian diteruskan oleh JSJ Bukit Aman kerana ia melibatkan siasatan di luar sempadan negara memandangkan ia melibatkan sindiket jenayah terancang.

“Apabila ia melibatkan jenayah terancang dan mempunyai kaitan dengan sempadan negara, ia lebih besar daripada kongsi gelap.

“Siasatan turut melibatkan Polis ASEAN (ASEANAPOL) dan Polis Antarabangsa (Interpol) serta semua pihak berkuasa berkaitan yang akan bergerak bersama,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Derma Darah PDRM Perak sempena Hari Polis ke-218, di Mes Pegawai Kanan Polis, di sini pada Khamis.

Menurut beliau, sehingga kini tiada senjata ditemui di lokasi kejadian, manakala motif pembunuhan masih dalam siasatan.

Difahamkan, anak lelaki mangsa yang berusia 31 tahun sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, telah dilepaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman pada Selasa lalu.

Terdahulu, media melaporkan mangsa ditemukan maut dengan kesan tikaman dan luka tembakan di dada kiri di bahagian dapur rumahnya pada 24 Jun lalu.

Mangsa dipercayai mati akibat kesan luka tembakan dan ditemukan dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah.

Pihak polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan ini mempunyai hubungan dengan kegiatan jenayah rentas negara, dan usaha pengesanan suspek atau rangkaian sindiket yang terlibat sedang giat dijalankan melalui kerjasama agensi penguatkuasaan antarabangsa.

+ - reset