TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Ejen tarik kereta ditahan halang laluan lebuh raya berhampiran R&R Pedas-Linggi

By
|
Kongsi
image

REMBAU 3 Julai – Seorang lelaki dipercayai ejen tarik kereta ditahan polis selepas terbabit dalam insiden menghalang laluan trafik di Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pedas-Linggi, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Rembau, Superintenden Hasani Hussain, berkata suspek berusia 50-an itu ditahan di sekitar Seremban kira-kira jam 12.30 tengah malam, Rabu.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek merupakan ejen tarik kereta dan bertindak demikian kerana mahu menarik sebuah kenderaan. Mereka hanya berhenti seketika.

“Seorang daripada pemilik tiga kenderaan yang terlibat telah ditahan dan kami sedang mengesan suspek lain yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan, Khamis.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 35 saat yang memaparkan tiga buah kereta berhenti secara melintang di laluan lebuh raya, sekali gus menghalang pergerakan trafik dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

Hasani berkata, kes berkenaan disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 279 dan 341 Kanun Keseksaan serta Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau menegaskan bahawa polis memandang serius sebarang tindakan yang boleh mengganggu keselamatan dan kelancaran lalu lintas.

Orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Noor Fathiah Ak’Dilah Ishak di talian 010-5825384 atau Pegawai Penyiasat Trafik, Sarjan Siti Nur Balqes Abdul Rahim di 019-7992519, atau terus ke Bilik Gerakan IPD Rembau di 06-6851999. – Media Telus

+ - reset