Berita Berita
Banteras buli, MARA sedang pilih calon terbaik bekas tentera, polis jadi warden di MRSM terpilih

JOHOR BAHRU 3 Julai - Bagi memperkukuh aspek disiplin dan membanteras kes buli pelajar, Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini sedang giat meneliti calon warden sepenuh masa dalam kalangan bekas pegawai tentera dan polis untuk ditempatkan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) terpilih.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata, proses pemilihan sedang dijalankan dan penempatan warden akan dimulakan secara projek rintis dalam masa terdekat.
"Sekarang (warden MRSM dalam kalangan anggota beruniform) sedang dalam proses pemilihan.
"Kita sudah kenal pasti beberapa calon terbaik, namun ia tidak diletakkan di semua MRSM. Kita akan mulakan projek perintis warden ini di beberapa MRSM terpilih dahulu pada tahun ini juga.
"Butiran lanjut akan diumumkan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tidak lama lagi," katanya ketika merasmikan program Entrepreneurial Chill & Chat MARA, di sini, hari ini.
Terdahulu pada April lalu, MARA memaklumkan inisiatif melantik warden daripada kalangan bekas anggota beruniform bertujuan menangani isu disiplin dan keselamatan pelajar MRSM dengan lebih berkesan.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata pelaksanaan itu akan dimulakan secara projek rintis di beberapa MRSM terpilih bagi menilai keberkesanannya, selepas cadangan tersebut dipersetujui sebulat suara dalam Mesyuarat Majlis MARA.
"Buat permulaan, projek rintis ini akan dilaksanakan di beberapa MRSM dan MARA akan menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Veteran Tentera dan Bekas Polis bagi mengenal pasti kriteria pemilihan calon warden," katanya.
Dalam perkembangan lain, mengulas keputusan menghentikan penghantaran pelajar tajaan MARA ke Amerika Syarikat (AS) bermula tahun ini, Zulfikri menjelaskan agensi itu kini sedang menilai beberapa destinasi alternatif.
"Sebahagian daripada pelajar yang sebelum ini mengikuti pengajian di AS mungkin kita akan minta untuk sambung pengajian di Malaysia sahaja.
"Kebanyakan pelajar akan mengikuti semula pengajian pada September atau awal tahun depan. Jadi mereka kena dapatkan tawaran baharu untuk diteliti," katanya.
Antara negara yang sedang dipertimbangkan untuk penghantaran pelajar tajaan MARA termasuk United Kingdom (UK), Australia, Jepun, New Zealand dan China, bergantung kepada bidang pengajian masing-masing.
Berita berkaitan
July 3, 2025, 6:41 pm
MAIPk sahkan lelaki OKU tular terima bantuan tetap sejak 2016
July 3, 2025, 6:08 pm
Pegawai, anggota SPRM gemuk tidak akan dinaikkan pangkat - Azam Baki
July 3, 2025, 5:18 pm
Pemandu bot tragedi Pulau Perhentian mengaku bersalah ambil dadah
July 3, 2025, 4:06 pm
Budak perempuan 2 tahun tahan sakit kepala tersepit celah besi di taska
July 3, 2025, 3:50 pm