TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MAIPk sahkan lelaki OKU tular terima bantuan tetap sejak 2016

By
|
Kongsi
image

IPOH 3 Julai – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mengesahkan bahawa lelaki orang kurang upaya (OKU) yang tular di media sosial baru-baru ini, Jefree Regan, 49, merupakan penerima bantuan tetap bulanan sejak tahun 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh, berkata Jefree turut menerima bantuan kecemasan hampir setiap kali hadir ke pejabat MAIPk serta sumbangan khas sempena sambutan Aidilfitri dan Aidiladha tahun ini.

“Menurut rekod MAIPk, Jefree Regan merupakan salah seorang daripada 13,000 asnaf yang menerima bantuan kewangan tetap bulanan daripada MAIPk sejak 2016.

“Beliau juga termasuk penerima sumbangan tambahan sempena sambutan Aidilfitri dan Aidiladha 2025 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Syamsul Hazeman berkata, pihaknya tidak akan mendedahkan kisah sebenar di sebalik kehidupan Jefree demi menjaga maruah penerima dan amanah harta zakat yang diberikan oleh para muzakki (pembayar zakat).

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada individu dan masyarakat yang prihatin terhadap kebajikan golongan asnaf serta menyeru agar maklumat berkaitan bantuan zakat hanya dirujuk melalui saluran rasmi.

“MAIPk sentiasa menekankan prinsip keadilan dalam pengagihan zakat serta bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memastikan kebajikan golongan asnaf dan OKU terus terbela.

“Kami juga menyarankan masyarakat tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum disahkan kesahihannya bagi mengelakkan kekeliruan serta menjaga nama baik semua pihak,” katanya.

Sebelum ini, kisah hidup Jefree tular di aplikasi TikTok dan menarik perhatian warganet termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil menghulurkan bantuan. – Media Telus

+ - reset