Berita Berita
SPRM akan mohon lucut hak wang tunai RM170 juta, jongkong emas dikaitkan dengan Ismail Sabri

KOTA BHARU 3 Julai – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan permohonan kepada mahkamah dalam tempoh satu hingga dua minggu bagi melucutkan hak ke atas semua aset yang dirampas, termasuk wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dan 16 kilogram (kg) jongkong emas yang ditemui di sebuah ‘safehouse’ yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata segala aset yang disita itu akan dilucut hak dan menjadi hasil kepada kerajaan sekiranya mahkamah meluluskan permohonan tersebut.
“Wang ini sekiranya berjaya dilucut hakkan, ia akan menjadi hasil kepada kerajaan. Itu yang diputuskan.
“Sekiranya beliau (Ismail Sabri) mencabar permohonan di mahkamah, maka perbicaraan akan dijalankan,” katanya kepada media selepas Majlis Persaraan Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain, yang turut menyaksikan penyerahan tugas kepada pengganti baharu, Azmin Yusuff.
Tambah Azam, sehingga kini Timbalan Pendakwa Raya masih belum membuat keputusan sama ada akan ada pertuduhan jenayah atau tidak.
“Kita sudah siapkan kerja, dan kini terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk menilai sama ada terdapat pertuduhan jenayah atau tidak,” katanya.
Terdahulu, Ismail Sabri beberapa kali dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh pentadbirannya sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Siasatan itu dilakukan selepas beliau diarahkan mengisytiharkan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009. Ismail Sabri membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lalu dan SPRM sedang meneliti sumber perolehan aset tersebut.
Pada 3 Jun lalu, SPRM mempamerkan wang tunai dalam pelbagai mata wang asing berjumlah kira-kira RM170 juta dan 16 kg jongkong emas bernilai hampir RM7 juta yang dirampas daripada tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse’ yang dikaitkan dengan kes berkenaan. – Media Telus
Berita berkaitan
July 3, 2025, 6:41 pm
MAIPk sahkan lelaki OKU tular terima bantuan tetap sejak 2016
July 3, 2025, 6:08 pm
Pegawai, anggota SPRM gemuk tidak akan dinaikkan pangkat - Azam Baki
July 3, 2025, 5:18 pm
Pemandu bot tragedi Pulau Perhentian mengaku bersalah ambil dadah
July 3, 2025, 4:06 pm
Budak perempuan 2 tahun tahan sakit kepala tersepit celah besi di taska
July 3, 2025, 3:50 pm