Berita Berita
Pemandu bot tragedi Pulau Perhentian mengaku bersalah ambil dadah

JERTIH 3 Julai – Pemandu bot yang terlibat dalam tragedi mengorbankan tiga nyawa di perairan Pulau Perhentian minggu lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Besut hari ini atas pertuduhan penyalahgunaan dadah.
Tertuduh, Azrie Yazid, 22, didakwa memasukkan dadah disyaki jenis Nimetazepam ke dalam badannya, sejenis bahan terlarang di bawah Bahagian III dan IV Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Besut pada jam 10.05 pagi, 29 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, serta boleh dikenakan perintah pengawasan.
Mahkamah membenarkan Azrie diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Zaidi Mat Yasin, manakala tertuduh diwakili peguam Norhuda Mohamed Khan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Terdahulu, dalam kejadian pada jam 10.30 malam Sabtu lalu, tiga mangsa termasuk seorang kanak-kanak maut apabila bot yang dinaiki mereka terbalik selepas dilanda ombak besar ketika dalam perjalanan dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar.
Mangsa yang terkorban ialah S. Arumugam, 40, anak perempuannya A. Sarrvihka, 3, serta seorang saudara mereka, V. Vennpani, 10. Dua lagi penumpang cedera manakala 10 orang terselamat dalam tragedi itu.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad\@Abu sebelum ini mengesahkan bahawa pemandu bot terbabit positif dadah dan mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang.
Berita berkaitan
July 3, 2025, 6:41 pm
MAIPk sahkan lelaki OKU tular terima bantuan tetap sejak 2016
July 3, 2025, 6:08 pm
Pegawai, anggota SPRM gemuk tidak akan dinaikkan pangkat - Azam Baki
July 3, 2025, 4:06 pm
Budak perempuan 2 tahun tahan sakit kepala tersepit celah besi di taska
July 3, 2025, 3:50 pm