TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Jovian Mandagie kini diisytihar muflis, gagal bayar pinjaman RM5.28 juta

By
|
Kongsi
image

 

 

KUALA LUMPUR 3 Julai – Pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie hari ini diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Insolvensi) susulan kegagalannya membayar pinjaman persahabatan berjumlah lebih RM5.28 juta kepada sebuah syarikat pembinaan kejuruteraan.

Perintah muflis itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Muhammad Faisal Zulkifli selepas membenarkan petisyen pemiutang yang difailkan syarikat Cekap Air Sdn Bhd pada 20 November tahun lalu.

Menurut petisyen tersebut, Jovian yang juga bekas menantu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah melakukan perbuatan kebankrapan apabila gagal mematuhi Notis Kebankrapan bertarikh 21 Mei 2023 dalam tempoh enam bulan sebelum tarikh petisyen difailkan.

Petisyen itu menyatakan jumlah hutang Jovian kepada Cekap Air adalah sebanyak RM5,284,340.66, termasuk faedah terkumpul sehingga 21 Mei 2023, berdasarkan penghakiman terus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada 2 April tahun lalu menerusi kes saman utama.

Peguam mewakili Cekap Air, Siti Nur Athirazatti Rohizad, berkata notis kebankrapan difailkan selepas Jovian gagal melunaskan jumlah penghakiman yang telah diputuskan mahkamah.

"Jovian ada memfailkan permohonan untuk menggantung dan membatalkan notis serta petisyen berkenaan tetapi semuanya ditolak oleh mahkamah," katanya.

Penghakiman terus merupakan permohonan oleh plaintif untuk mendapatkan keputusan mahkamah tanpa perlu melalui proses perbicaraan, berdasarkan fakta yang tidak dapat disangkal.

Difahamkan, pada 16 Mei 2023, Cekap Air memfailkan saman terhadap Jovian atas kegagalan membayar semula pinjaman RM5 juta yang didakwa diberikan atas dasar persahabatan.

Dalam pernyataan tuntutannya, syarikat itu mendakwa Jovian adalah kenalan kepada pengarahnya, Yong Zhen Wei, dan wang berkenaan dipinjamkan secara lisan pada 25 Februari 2022. Ia kemudian dipindahkan ke akaun pelanggan firma guaman yang mewakili Jovian.

Menurut syarikat terbabit, firma guaman itu turut mengesahkan penerimaan wang berdasarkan arahan daripada defendan.

Sementara itu, rayuan Jovian terhadap penghakiman terus berhubung saman utama tersebut dijadualkan didengar pada 15 September ini.

+ - reset