Berita Berita
'Berat nanang', makin ramai remaja gemuk, hisap vape di Terengganu - JKNT

JERTIH 4 Julai – Isu berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan remaja berusia antara 10 hingga 19 tahun di Terengganu kini menunjukkan tren membimbangkan, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).
Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, hasil saringan kesihatan melibatkan 13,613 remaja pada tahun lalu mendapati sebanyak 664 remaja mengalami obesiti, 1,689 mempunyai berat badan berlebihan, manakala 1,697 pula berada dalam kategori kurang berat badan.
"Gaya pemakanan antara faktor dikenal pasti menyumbang kepada masalah berat badan dalam kalangan remaja seperti mengambil minuman manis dan berlemak berlebihan daripada yang disarankan.
"Sebagai satu daripada langkah kesedaran dalam menangani isu pemakanan ini, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) telah memperkenalkan Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) dan setakat Jun tahun ini, sebanyak 18 sekolah di Terengganu melaksanakan program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Agenda Remaja Terengganu Sihat dan Pelancaran Pelan Strategik Kesihatan Remaja 2026-2030 anjuran JKNT di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Dr Kasemani turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan remaja berusia 13 hingga 17 tahun di negeri ini, yang meningkat kepada 16.1 peratus pada tahun 2022 berbanding 9.2 peratus pada tahun 2017.
Sebaliknya, beliau menyatakan bahawa kadar remaja yang merokok secara konvensional menunjukkan penurunan kepada 5.8 peratus pada 2022, berbanding 15 peratus pada 2017.
"Isu kesihatan mental termasuk kemurungan juga tidak boleh dipandang remeh dan perlu diberi perhatian oleh semua pihak,” tambahnya.
Bagi menangani keseluruhan isu berkaitan kesihatan remaja, JKNT telah melancarkan Pelan Strategik Kesihatan Remaja 2026-2030 yang memberi fokus kepada pengukuhan kemudahan, promosi kesihatan, serta kerjasama pelbagai pihak.
Dr Kasemani turut memaklumkan bahawa sebanyak sembilan klinik kesihatan di Terengganu telah diiktiraf sebagai Best Practice bagi Perkhidmatan Kesihatan Mesra Remaja (PKMR) sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa program intervensi kesihatan golongan tersebut.
Berita berkaitan
July 4, 2025, 6:02 pm
Nurul Izzah dilantik Penasihat Strategik SIDEC sempena ulang tahun ke-10
July 4, 2025, 4:22 pm
Baru beberapa hari beroperasi, Aerotrain KLIA dilaporkan rosak semula
July 4, 2025, 3:48 pm
Warga emas cubit lengan budak dalam surau hingga cedera kena denda RM2,000
July 4, 2025, 3:20 pm
Urusan lesen jual vape, e-rokok bawah bidang kuasa kerajaan negeri, PBT - KKM
July 4, 2025, 12:43 pm