TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

Baru beberapa hari beroperasi, Aerotrain KLIA dilaporkan rosak semula

By
|
Kongsi
image

 

SEPANG 4 Julai – Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekali lagi dilaporkan mengalami kerosakan, hanya beberapa hari selepas ia kembali beroperasi pada 1 Julai lalu, selepas tergendala selama beberapa tahun untuk menaik taraf sistem dan menggantikan gerabak baharu.

Insiden itu menjadi tular di media sosial apabila beberapa gambar menunjukkan sebuah gerabak Aerotrain tersadai di platform terminal antarabangsa, seperti yang dikongsi di laman Facebook Places and Food dan turut dibincangkan dalam satu bebenang di Reddit.

Menurut beberapa komen di laman sosial, kerosakan yang berlaku dipercayai bukan berpunca daripada masalah teknikal, sebaliknya akibat tindakan seorang penumpang yang didakwa cuba menahan pintu tren daripada tertutup seperti biasa, sekali gus mengganggu sistem operasi automatik tren tersebut.

Sehingga kini, belum dapat dipastikan sama ada perkhidmatan tren terbabit telah kembali beroperasi atau masih dihentikan bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) juga masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian itu.

Perkhidmatan Aerotrain KLIA sebelum ini dihentikan sejak Mac 2023 bagi memberi laluan kepada projek naik taraf sistem rel terminal tersebut, dan pelancarannya semula pada 1 Julai 2025 dianggap sebagai antara inisiatif penting dalam meningkatkan pengalaman penumpang di lapangan terbang utama negara itu. - Media Telus

+ - reset