TEPAT.BENAR.BEBAS
Date and Time:

Berita Berita

MOF beri kelonggaran pengisian penyata SST secara manual sehingga September

By
|
Kongsi
image

KUALA LUMPUR 4 Julai – Kementerian Kewangan (MOF) bersetuju memberikan kemudahan kepada industri dalam tempoh peralihan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), susulan maklum balas mengenai kesukaran mematuhi keperluan operasi.

Dalam kenyataan hari ini, MOF memaklumkan pembekal perkhidmatan dibenarkan mengemukakan penyata secara manual bagi tempoh bercukai dari 1 Julai hingga 30 September 2025, meskipun Cukai Perkhidmatan (CP) masih wajib dikenakan dan dikutip sepanjang tempoh tersebut.

"Kerajaan Madani memahami cabaran yang dihadapi pembekal perkhidmatan yang memerlukan masa untuk menaik taraf sistem bagi tujuan pematuhan," jelas kenyataan itu.

Bagi pengilang yang telah berdaftar, mereka diwajibkan mengenakan dan mengutip Cukai Jualan (CJ) bermula 1 Julai 2025, dan layak memohon pengecualian ke atas bahan mentah yang digunakan dalam pengilangan barang bercukai.

MOF turut menjelaskan, syarikat yang sebelum ini menerima pengecualian CJ melalui Jawatankuasa Pengecualian Cukai (JPC) Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) masih boleh menikmati pengecualian tersebut tertakluk kepada syarat dan tempoh ditetapkan.

"Namun, sekiranya mereka mengilang barang siap bercukai selepas 1 Julai dan mencapai nilai ambang ditetapkan, mereka perlu berdaftar sebagai pengilang berdaftar serta memohon pengecualian menerusi portal MySST di mysst.customs.gov.my," katanya.

MOF berharap kemudahan ini dapat membantu melancarkan urusan perniagaan dan memudahkan pematuhan terhadap peluasan skop SST.

Orang awam dan peniaga boleh menghubungi hotline Jabatan Kastam Diraja Malaysia di 1-300-888-500 untuk maklumat lanjut. - Media Telus

+ - reset